Khamis, 24 Disember 2009

Samy Vellu Nafi MIC Gagal Daftar pemilih Baru

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa parti itu langsung tidak menjalankan kerja mendaftar golongan muda sebagai pemilih baru.

Sambil menolak kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam bahawa MIC gagal mendaftar pengundi baru di Pulau Pinang dan Selangor pada Oktober lepas

Beliau berkata, SPR mungkin tidak memahami proses pendaftaran pemilih yang dilakukan oleh MIC selama ini dan tidak semestinya MIC mendaftar pemilih baru melalui saluran Penolong Pendaftar yang dilantik oleh SPR.

"Pendaftaran pemilih baru dilakukan oleh setiap Cawangan MIC dengan mengenal pasti ahli-ahli dan bukan ahli MIC yang belum menjadi pemilih. Langkah pertama adalah untuk mendaftar golongan muda yang melepasi umur 21 tahun sebagai ahli MIC, dan seterusnya meminta mereka mendaftar sebagai pemilih dengan SPR," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Samy Vellu berkata, proses mendaftar pemilih baru oleh MIC dilakukan melalui kempen yang dijalankan oleh setiap Cawangan MIC di lokasi masing-masing dengan bantuan pejabat bergerak SPR.

Malah katanya, baru-baru ini, Ibu Pejabat MIC telah mengarahkan setiap Cawangan MIC supaya menjalankan proses pendaftaran pemilih baru setiap enam bulan, dan maklumat ini telahpun disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.

"Adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa MIC tidak agresif dalam mendaftar pemilih baru hanya berdasarkan kepada data bulan Oktober 2009. SPR harus melihat secara menyeluruh tanpa bergantung kepada data-data melalui saluran Penolong Pendaftar SPR sahaja," katanya.

Beliau berkata, banyak daripada program pendaftaran pemilih baru oleh MIC dijalankan secara tidak langsung seperti dengan mengatur sesi pendaftaran di sesuatu lokasi melibatkan pegawai-pegawai SPR tanpa membabitkan saluran Penolong Pendaftar SPR.

"MIC tidak boleh hanya bergantung kepada Penolong Pendaftar yang dilantik oleh SPR dari kalangan ahli-ahli MIC untuk melakukan urusan pendaftaran pemilih baru.

"MIC tidak hanya membantu dalam mendaftar pemilih baru yang telah melepasi usia 21 tahun tetapi juga masyarakat India yang belum menjadi pemilih," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.