Salhan K Ahmad
Agensi audit penerbitan berpengaruh mengancam ambil tindakan mahkamah terhadap penerbit majalah yang meraih pendapatan iklan yang besar tetapi jumlah edarannya tidak dapat disahkan.
Tindakan penerbit tersebut, yang boleh mengelirukan dan dianggap menipu pengiklan, akan dimulakan selepas Februari tahun depan apabila mereka enggan mengaudit edaran majalah-majalah tersebut, kata Biro Audit Pengedaran (ABC) Malaysia.
Tindakan akan diambil melalui peruntukan bawah Akta Perihal Dagangan 1972 berkaitan tuntutan palsu, kata pengerusi ABC Datuk Vincent Lee ketika mengumumkan perangkaan terkini edaran media cetak di Petaling Jaya semalam.
"Kita akan minta mereka membayar semula (kepada pengiklan) bagi jumlah sehingga lima tahun terkebelakang," tambahnya ketika diminta menjelaskan bentuk tuntutan ke atas penerbit-penerbit itu.
Lee mendedahkan, 85 peratus atau lebih 300 majalah yang diterbitkan di negara ini tidak mengaudit jumlah edaran mereka walaupun jumlah iklan yang dibelanjakan oleh syarikat untuk mempromosikan produk mereka tahun lalu mencecah RM156 juta.
Daripada kira-kira 30 majalah wanita dan kecantikan yang banyak mendapat iklan, hanya sembilan tajuk melalui proses audit, katanya.
Sehubungan itu, Lee berkata ABC sedang berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan saman secara berkumpulan ke atas penerbit-penerbit tersebut yang dianggap menipu pengiklan dan pembeli media.
Tambahnya, tindakan itu ditumpukan terhadap para penerbit yang dikesan mempunyai jumlah edaran sebenar yang rendah tetapi meraih pulangan iklan yang tinggi kerana menipu jumlah edaran.
"Kami percaya sekiranya jumlah edaran yang didakwa itu tidak mencapai tahap seperti yang didakwa, penerbit tersebut memberi tafsiran mengelirukan kepada pengiklan yang membuat keputusan membeli (iklan) berdasarkan tafsiran salah tersebut," katanya dalam ucapannya.
Jelasnya, dakwaan mengelirukan oleh penerbit ini antaranya berasaskan pesanan cetakan dan juga berdasarkan "hubungan peribadi mereka dengan pengiklan."
"Penerbit perlu sedar bukan semua (ruang) penerbitan akan dibeli (oleh pengiklan) kerana jumlah edaran yang tinggi, tetapi kerana banyak pertimbangan lain," kata Lee lagi.
Pertimbangan itu termasuklah isi kandungan majalah, penampilan, imej penerbitan berkenaan dan profil pembaca mereka.
ABC bagaimanapun enggan menamakan penerbit-penerbit tersebut atau bilangan syarikat yang bakal dikenakan tindakan.
"Mereka masih berpeluang sehingga Februari tahun depan untuk hantar jumlah edaran bagi diaudit," katanya.
"Kami beriltizam untuk memilih jalan sukar ini. Jika tidak, semua orang akan rasa ditipu."
ABC sebuah agensi bebas yang berpengaruh luas dalam industri penerbitan kerana mempunyai keanggotaan terbesar termasuk penerbit akhbar serta majalah dan juga persatuan agensi pengiklanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.