BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) harus menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin berpengalaman yang pernah menerajui negara dan mengelak daripada membuat sebarang komen yang boleh ditafsirkan sebagai negatif kepada beliau.
Bekas menteri, Tan Sri Annuar Musa, berkata tuduhan yang menyatakan Dr Mahathir sebagai seorang yang bersifat perkauman tidak seharusnya timbul kerana tidak mungkin Dr Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri di negara yang berbilang kaum selama 22 tahun dengan begitu baik jika beliau bersifat perkauman.
“Berilah penghormatan kepada Tun sekurang-kurangnya sebagai orang tua.
“Harus ada rasa hormat dan tidak harus ada polemik yang memberi pandangan tidak elok. Satu hari nanti, kita juga akan berhenti (menjadi pemimpin),” katanya.
Bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman berkata, pertelingkahan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Dr Mahathir berpunca daripada persepsi terhadap kursus Biro Tata Negara (BTN).
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak faham mengapa Nazri sanggup berkata demikian kepada Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri.
“Dr Mahathir cuba membawa kesedaran kepada rakyat mengenai kenegaraan dan Nazri yang bertanggungjawab terhadap BTN juga membawa maksud sama.
“Perselisihan itu berlaku adalah berhubung persepsi masing-masing yang berlainan terhadap BTN, ” katanya.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, berkata, sepanjang pengetahuannya, kursus BTN tidak bersifat perkauman kerana objektif kursus itu untuk menyemai semangat cintakan negara.
“Saya pernah mengikuti BTN dan tidak nampak sebarang unsur perkauman.
“Kursusnya bertujuan mendidik golongan muda kerana 15 tahun dulu, golongan ini kurang memahami kehendak negara,” katanya.
Mereka berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nazri yang menuduh Dr Mahathir bersifat perkauman kerana menolak pandangannya supaya modul kurikulum BTN dirombak bagi menggambarkan konsep 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.