UTUSAN ONLINE
LANGKAWI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan helikopter pada masa hadapan bagi memantapkan lagi aktiviti pemantauan jenayah di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, setakat ini PDRM memiliki 10 buah helikopter bagi tujuan tersebut.
"Bagi saya, PDRM memerlukan lebih banyak helikopter kerana ia memberi kebaikan terutamanya untuk tujuan pencegahan jenayah.
"Kalau boleh saya mahu setiap negeri ada sebuah helikopter," katanya kepada pemberita ketika melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat di sini hari ini.
Musa berkata, kehadirannya pada hari ini adalah untuk melihat peralatan yang dipamerkan dan mungkin dapat memenuhi keperluan pihak polis.
"Ia bertujuan menentukan PDRM dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
Selain itu, katanya, PDRM juga memerlukan satu sistem komunikasi yang bersepadu bagi memantapkan lagi perkhidmatannya.
Ditanya sama ada PDRM berminat untuk memiliki pesawat tanpa pemandu (UAV), beliau berkata, pihaknya tidak bercadang membeli pesawat berkenaan pada masa ini kerana kosnya yang agak mahal.
Mengenai perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Musa berkata, beliau memberi fokus untuk menambah balai polis di setiap daerah dalam negara dan meningkatkan rondaan keselamatan di setiap kawasan.
Tambahnya, pihaknya akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, menjaga kebajikan anggota dan memberi latihan yang berterusan bagi melahirkan anggota polis yang berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.