Selasa, 22 Disember 2009

Panggil segera Sidang Khas Parlimen bincang kehilangan enjin pesawat F-5E

Harakahdaily


ALOR SETAR - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Menurut Mahfuz, beliau akan menulis surat meminta Najib memanggil suatu sidang khas Parlimen bagi membolehkan usul pembentukan sebuah jawatankuasa siasatan peringkat parlimen dibincangkan.

"Jawatankuasa yang dibentuk nanti akan bertanggungjawab menyiasat kes kehilangan enjin dan juga menyiasat segenap sudut termasuklah tahap keselamatan di semua kem-kem tentera khususnya di kem TUDM.

"Jawatankuasa ini mestilah dibenarkan menyoal siasat sesiapa sahaja yang terlibat dengan kes ini, termasuklah bekas Menteri Pertahanan dan bekas Panglima TUDM yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku," katanya pada media di pejabatnya di Pokok Sena, dekat sini.

Kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, untuk membuktikan ketelusan jawatankuasa yang dibentuk, laporan siasatan nanti hendaklah dikemukakan kepada Parlimen dalam bentuk kertas putih dan tidak disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Sementara itu, Mahfuz turut meragui persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan negara berikutan terjadinya kes-kes pencerobohan di kem-kem tentera sebelum ini.

"Tahap keselamatan negara amat diragui memandangkan sudah beberapa kali berlakunya insiden yang mengancam keselamatan negara melibatkan kem-kem tentera seperti kes Al-Maunah dan kebakaran berulang kapal pengangkut milik TLDM.

“Jika enjin pun boleh hilang, tidak mustahil suatu hari nanti jet Sukoi pula dilarikan pihak tertentu. Ini menunjukkan tahap keselamatan negara terdedah kepada ancaman pihak luar,” katanya.

Mahfuz juga menyarankan kepada Kementerian Pertahanan supaya lebih peka dan bertanggungjawab menjaga dalam aspek-aspek keselamatan negara agar tidak diperlekeh pihak tertentu.

“Pada masa kita mahu memantapkan aspek pertahanan dengan penggunaan kapal selam, kita tidak boleh lagi memandang ringan isu-isu kecil seperti kem diceroboh dan aset-aset keselamatan negara dicuri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.