KUALA LUMPUR - Kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor adalah terdiri dari mereka yang bukan dikalangan ahli parti.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata kumpulan berkenaan tidak wujud dalam parti, sebalik ditubuhkan bertujuan untuk memfitnah parti PAS.
"Saya tidak kenal pun mereka. Kumpulan itu bukan di bawah kita (PAS) dan ini semua fitnah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan kumpulan itu yang mendesak PAS Selangor keluar daripada pakatan di negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri dalam memperjuangkan isu Islam dan bangsa Melayu.
Ditanya sama ada PAS bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka, Salahuddin berkata buat masa ini PAS mengambil pendirian untuk meneliti perkara tersebut.
"Itu kita tengok kemudian (ambil tindakan undang-undang). Sekarang ini biarlah dahulu," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kumpulan terbabit dan tindakan seterusnya parti itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk penjelasan lanjut.
Kumpulan tersebut telah menyebarkan SMS fitnah menyatakan para penyokong PAS akan mengadakan satu himpunan mendesak PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat yang didakwa akan diadakan pada Ahad 27 Disember 2009 (Hari ini) jam 11:00 pagi di Pejabat PAS Selangor No. 13C, Tingkat. 3 Blok 1, Worldwide Business Centre, Seksyen. 13, Shah Alam.
Buletinonline turut menerima SMS tersebut yang berbunyi "Memorandum akan diserah kepada Dr Hassan Ali. Kini ISLAM semakin ditindas oleh DAP & PKR,"
Sehubungan itu, fitnah yang menjadi-jadi akibat dari liputan akhbar yang terlalu bebas mengambil sebarang kenyataan dari mana-mana pihak tanpa melihat otoriti pihak kini menjadi satu beban kepada PAS.
Justeru, PAS akan menggunakan mekanisme khas yang hanya membolehken sesetengah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan media, dipercayai usaha terbaru parti itu untuk mengawal impak kerosakan akibat liputan media massa
Di bawah mekanisme itu hanya pemimpin tertentu dalam PAS sahaja yang akan dibenarkan mengeluarkan kenyataan media.
Perkara itu dinyatakan oleh timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa ketika sesi soal jawab pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS-55 PAS Pengkalan Chepa, malam tadi.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan butiran barisan pemimpin yang bakal diberi kebenaran.
“PAS memang mengambil perhatian serius terhadap perkara itu. Dan, kita telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Syura ulama diadakan hampir dua minggu lepas,” katanya yang dilaporkan rakan media Mohd Zuharman Mohamad Nor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.