Selasa, 29 Disember 2009

Jual MiG-29: Tiada Keputusan Muktamad



Dua pesawat pejuang MIG 29 Tentera Udara Diraja Malaysia berlepas dari
landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk membuat
pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa
Langkawi 2009 (LIMA '09) di Langkawi, baru-baru ini. -Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kerajaan masih belum mencapai keputusan muktamad untuk menamatkan perkhidmatan sebelum menjual pesawat pejuang MiG-29 tahun depan.

"No decision yet (Tiada keputusan dibuat lagi)," tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan keputusan menggantikan pesawat pejuang buatan Rusia itu dengan pesawat tempur pelbagai guna lain.

Antara pesawat yang disebut-sebut sedang diteliti menggantikan skuadron itu ialah SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 dan mungkin juga F-15 Eagle.

Pada 28 Oktober lalu, Ahmad Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkhidmatan pesawat tempur pemintas itu akan diberhentikan pada tahun depan.

Beliau memberitahu, penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi jet-jet MiG-29N sebanyak 16 pesawat itu.

Katanya, kerajaan terpaksa membelanjakan kos tinggi RM260 juta setahun untuk menyenggara semua pesawat MiG-29N tersebut.

Diminta mengulas komen Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempertikaikan pelupusan jet-jet yang berusia tidak sampai 20 tahun terbabit sedangkan India dan Rusia masih menggunakannya dalam tempoh lebih lama, Ahmad Zahid enggan komen.

"I have no comment because I don't want to create unnecessary polemic with Tun M (Saya tidak mempunyai apa-apa komen kerana saya tidak ingin mencetuskan polemik dengan Tun M)," tegas beliau.

Bekas Perdana Menteri itu hairan bagaimana kerajaan mahu menggantikan pesawat pejuang pemintas itu dengan yang baru dalam keadaan ekonomi negara masih tidak menentu sekarang.

Katanya dalam laman blog popularnya, Che Det semalam, penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta ringgit) kepada orang tengah.

Tambah beliau, apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk membeli pesawat yang baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.