Jumaat, 11 Disember 2009

Dr Mohd Asri kemuka bantahan

Pendakwa mohon pindah kes bekas mufti ke Mahkamah Tinggi Syariah

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes mengajar agama tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam notis bantahan awal itu, Mohd Asri memberi beberapa alasan bagi menyokong permohonan itu antaranya mendakwa Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan kesalahan orang Islam yang membabitkan jenayah dan kesalahan yang bertentangan dengan rukun Islam.

Katanya, tuduhan mengajar perkara berkaitan agama Islam tanpa tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dikenakan terhadapnya bukan satu kesalahan rukun Islam dan tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana bertentangan dengan Seksyen 16 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Mohd Asri berkata, peraturan yang menetapkan seseorang perlu mendapatkan tauliah dari Jais untuk mengajar hal berkaitan agama Islam hanya undang-undang pentadbiran bukan kesalahan yang bertentangan dengan rukun Islam.

Beliau berkata, Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran itu bercanggah dengan prinsip dan ruh Islam dan dengan itu peruntukan berkenaan tidak konsisten dengan hukum syarak dan hendaklah terbatal mengikut Seksyen 230 Enakmen Tatacara Jenayah (Selangor) 2003.

Dalam notis bantahan itu, Mohd Asri juga mendakwa peruntukan Seksyen 119 (1) enakmen itu bertentangan dengan Jadual Sembilan, Senarai Dua (Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan kerana kesalahan yang didakwa itu bukan kesalahan rukun Islam.

Beliau juga mendakwa, peruntukan itu melampaui kuasa Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 11(1) yang menjamin seseorang berhak menganuti dan mengamalkan agama serta mengembangkan agamanya dan melampaui kuasa Artikel 10(1)(a) yang menjamin setiap warga negara bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.

Katanya, Seksyen 119 (1) enakmen itu adalah terbatal kerana Artikel 4(1) meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang utama persekutuan dan undang-undang yang berlawanan hendaklah terbatal.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar hujah bantahan Mohd Asri itu selepas berbincang dalam kamar dengan kedua pihak.

Pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jais, Abdul Shukor Abdul Hamid dibantu Pegawai Pendakwa Syarie Jais, Zusyarafain Yusof manakala Mohd Asri diwakili Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Jamal Mohd Lokman Sulaiman.

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 November lalu menolak permohonan Jais untuk memindahkan kes Mohd Asri tanpa tauliah, ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jais di rumah No 2, Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 sehingga 9.45 malam, 1 November lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pada prosiding semalam, Mohd Asri tiba di mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi bersama bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa penyokongnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.