Azamin Amin
KUALA LUMPUR : Parlimen hari ini diberitahu bahawa terdapat tiga syarikat yang akan mengambil-alih dan 'menyelamatkan' Bernama TV daripada terus mengalami kerugian.
Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan I Datuk Joseph Salang anak Gandum (BN-Julau) ketika menjawab soalan tambahan daripada Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berhubung kerugian yang dialami oleh media terbabit.
Salahuddin bertanyakan sebab-seba berlakunya kerugian dan perbandingan format Bernama TV yang tidak menarik perhatian penonton.
"Kita lihat Astro Awani yang mempunyai persembahan yang ceria dan senitiasa menjemput tokoh-tokoh politik untuk berdiskusi sentiasa mendapat tarikan.
"Kenapa Bernama TV rugi dan terpaksa diambil alih oleh tiga syarikat?" katanya di sidang Dewan Rakyat pagi tadi.
Joseph mengakui kerugian yang dialami tetapi tidak menyebut secara terperinci sebab-sebab media terbabit mengalami kerugian, seperti yang dihebahkan sekitar RM15 juta.
Katanya operasi Bernama TV setiap bulan adalah sejumlah RM1.5 juta manakala tempahan iklan yang diterima hanyalah sekitar RM150,000 sebulan.
"Diharapkan dengan pengambil-alihan syarikat terbabit dapat mengelak Bernama TV dari terus rugi dan mendapat tempahan iklan yang banyak," katanya.
Beliau sebelum ini menjawab soalan Datuk Raime Bin Unggi (BN- Tenom) yang meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan peranan Bernama TV sebagai suara Kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan dan perpaduan, khususnya mengembangkan gagasan 1 Malaysia.
Sementara itu Joseph turut menjelaskan bahawa Bernama TV telah mengisi kekosongan dengan menjadi satu saluran TV di mana rakyat boleh mendapat berita dan informasi terkini sepanjang 24 jam.
"Berita-berita sensasi dan provokasi tidak akan diberi ruang bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan matlamat Gagasan 1Malaysia," katanya.
Next >
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.