BERNAMA
Kerajaan masih kekal dengan keputusan sebelum ini untuk tidak membenarkan kepulangan bekas setiausaha agung Parti Komunis
Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata seperti pendirian yang dibuat sebelum ini, kerajaan prihatin atas sentimen rakyat yang masih marah atas keganasan yang dilakukan oleh pemimpin komunis itu semasa darurat dahulu.
"Sebab-sebabnya umum sudah tahu masih ramai di kalangan rakyat yang waktu darurat dulu menghadapi musibah daripada keganasan yang sehingga hari ini mereka tidak boleh lupakan.
"Sebagai kerajaan yang prihatin atas sentimen rakyat yang masih membara itu, kita memutuskan untuk tidak bersedia menerima walaupun dia memohon maaf," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ke-7 di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf bekas pemimpin PKM itu yang disiarkan dalam sebuah akhbar Inggeris tempatan semalam.
Bagaimanapun, katanya, jika ada perubahan dari segi keputusan, perkara itu perlu dibincang semula dalam kabinet tetapi keputusan yang sudah dibuat itu masih lagi kekal.
"Setakat hari ini, tiada maaf bagimu," katanya.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengingatkan bahawa tidak perlu ada sesiapa lagi menemui Chin Peng dan membangkitkan tentang bekas pemimpin PKM itu yang telah banyak membawa durjana kepada negara.
Katanya, banyak perbincangan telah dibuat mengenai Chin Peng dan keputusan telah diambil oleh rakyat bahawa ketua pengganas itu ditolak sepenuhnya di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.