Isnin, 2 November 2009

Perlis kecewa PPB jual ladang tebu

Oleh Adha Ghazali


KANGAR: Perlis kecewa dengan tindakan PPB Group Bhd (PPB) yang dianggap sengaja membelakangkan kerajaan negeri dengan menjual aset ladang tebu di Chuping kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Rasa kecewa dan terkilan itu disuarakan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang juga penasihat kepada Menteri Besar Perlis, berikutan tindakan PPB yang langsung tidak mengambil kira kepentingan kerajaan negeri.

Bagi Radzi, penjualan aset seluas 5,797 hektar di Chuping itu adalah suatu yang perlu dipersoalkan, terutama dengan kedudukan PPB yang sememangnya menyedari kepentingan kerajaan negeri terhadap ladang berkenaan.

Beliau berkata, PPB sewajarnya menyuarakan tawaran penjualan aset berkenaan kepada kerajaan negeri terlebih dulu, sebelum membuka rundingan dengan mana-mana pihak termasuk Felda.

"Ini tidak, tiba-tiba saja berita penjualan aset ladang tebu di Chuping kepada Felda tersiar di akhbar dan ia jelas sekali mengejutkan banyak pihak terutama kami (kerajaan negeri).

"Malah, dengan harga RM45 juta ditawarkan, kami (kerajaan negeri) sendiri mampu mengambil alih ladang berkenaan melalui pinjaman bank, untuk memastikan kesinambungan projek masa depan Perlis," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, PPB yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, dijangka menjual aset ladang tebu seluas 5,797 hektar di Chuping kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dengan nilai RM45 juta.

Selain itu, dua lagi aset milik PPB iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (MSM) dan Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) akan turut dijual kepada syarikat sama dengan nilai urus niaga keseluruhan RM1.29 bilion.

Mengenai harga RM45 juta yang ditawarkan, Radzi berkata, kerajaan negeri dijangka tidak berdepan masalah mendapatkan pinjaman, demi memastikan aset berkenaan terus kekal.

"Ladang tebu Chuping amat penting dan sinonim dengan Perlis. Selain bertindak sebagai tarikan pelancongan, ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 300 penduduk tempatan, sejak sekian lama," katanya.

Difahamkan, ladang tebu Chuping sebelum ini memiliki keluasan mencecah 10,000 hektar, di mana setiap separuh daripadanya dimiliki masing-masing oleh PPB dan juga Felda.

1 ulasan:

  1. Lebih baik felda uruskan ladang milik PPB tu...
    PERLIS negeri pokai nak kena uat loan.. nak urus takbir tak nampak ada ahli yang oleh nak pacu bisnes..

    projek yang lepas2 pun tak buleh survive banyak kilang2 d sekitar kuala perlis ,batu pahat, yang d uruskan kerajaan negeri terlingkup.. kilang simen pn dah jadi negeri sembilan punya..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.