UTUSAN ONLINE
MELAKA – Kenderaan yang dinaiki rakannya terbabit dalam kemalangan. Niatnya untuk menolong rakan yang cedera itu dengan membawanya ke hospital menaiki ambulans.
Namun, nasib malang menimpa seorang pegawai imigresen, Mohamed Fitri Jamaludin apabila ambulans yang dinaikinya terbabas lalu terbalik dan meragut nyawanya.
Kejadian berlaku di Kilometer 25.6, Jalan Jasin-Bemban di sini kira-kira pukul 10.45 malam tadi.
Mohamed Fitri, 25, dari Taman Maju Jasin di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas tercampak keluar dari ambulans tersebut.
Bagaimanapun, dua rakannya yang cedera dalam kemalangan sebelum itu serta pemandu ambulans terbabit terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Jasin, Cif Inspektor Mohd. Zaki Aftar berkata, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya menaiki kereta berasingan menghala ke arah Jasin.
Bagaimanapun, menurutnya, kereta yang dipandu rakan mangsa, Mohd. Firdaus, 22, dan penumpang, Raja Mohamed Azuhan terbabas di Kilometer 15, Jalan Jasin-Bemban.
“Melihatkan kereta rakannya kemalangan, Mohamed Fitri memberhentikan kenderaannya dan mendapati dua rakannya itu mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudian menaiki ambulans bagi menemani rakannya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zaki, apabila ambulans terbabit tiba di Kilometer 25.6, salah satu daripada tayar kenderaan itu pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan Mohamed Fitri tercampak keluar dari ambulans dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.