Jumaat, 27 November 2009

Lebih Banyak Ibadah Korban Dilakukan Esok Di Sekitar Ibu Kota

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketika beberapa kawasan termasuk masjid di sekitar ibu kota melaksanakan ibadah korban hari ini sempena Hari Raya Aidiladha, namun ibadah itu akan lebih banyak dilakukan esok secara gotong-royong di masjid-masjid dan taman-taman perumahan memandangkan hari pertama ibadah itu kali ini jatuh pada hari Jumaat.

Tinjauan Bernama di beberapa masjid sekitar Kuala Lumpur mendapati hanya Masjid Jamek Pakistan, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, yang melaksanakan ibadah korban hari ini dengan menumbangkan sebanyak 12 ekor lembu dan seekor kambing.

Sementara itu penghuni di Blok 29, Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul menumbangkan empat ekor lembu di kawasan mereka.

Salah seorang penduduk di blok itu Omar Hussein, 29, berkata seramai 28 orang berkongsi untuk membeli empat ekor lembu dengan setiap orang membayar RM350 untuk satu bahagian.

"Aktiviti korban ini adalah aktiviti blok kami, tidak ada pihak lain yang terlibat, seekor lembu ni kami kongsi tujuh orang," katanya.

Tidak ketinggalan pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang turut melaksanakan aktiviti ibadah korban bersama-sama penduduk Flat Seri Perak di sini.

Pengurus Projek Fairul Iskandar Faizil Desouza berkata sebanyak empat ekor lembu dan empat ekor kambing dikorbankan dan daging-daging korban itu kemudiannya diagihkan kepada Rumah Anak Yatim Nur Iman Setapak dan penduduk di kawasan berkenaan.

"Program ini merupakan kali pertama diadakan oleh pelajar UniKL bersama penduduk dan ia bertujuan merapatkan silaturrahim antara mahasiswa dan penduduk," katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam program yang julung kali diadakan itu seramai 30 mahasiswa termasuk pegawai UniKL dari Unit Aktiviti dan Pembangunan Pelajar menyertai program korban perdana.

Antara tujuan program tersebut adalah untuk membentuk mahasiswa aktif dan cerdas melalui pembabitan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara Azhar Tuarno berkata sudah menjadi kelaziman kepada Masjid Negara melaksanakan ibadah korban pada hari raya kedua Aidiladha.

"Memang selama ini Masjid Negara tidak pernah membuat korban pada hari raya pertama, tambahan pula raya haji kali ini jatuh pada Jumaat yang mana kami turut membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.

Azhar, 37, berkata jumlah lembu yang akan dikorbankan esok meningkat kepada 34 ekor berbanding 30 ekor tahun sebelumnya.

Seorang penduduk Taman Melati, Azhar Yusof, 25, yang ditemui di Masjid Salehuddin Al Ayubi, Taman Melati, pula berpendapat kesuntukan masa menyebabkan tidak banyak aktiviti korban dijalankan di kebanyakan masjid sekitar Kuala Lumpur hari ini.

"Hari ini hari Jumaat, orang semua sibuk nak buat macam-macam perkara, nak sembahyang Jumaat, nak pergi melawat rumah sanak saudaralah, itulah sebabnya banyak masjid yang pilih esok untuk laksanakan korban," katanya.

Tinjauan di beberapa pusat membeli-belah di sekitar ibu negara hari ini juga mendapati keadaan agak lengang dan pengunjung agak berkurangan kerana ramai warga kota yang kembali ke kampung halaman masing-masing menyambut Hari Raya Korban.

Tinjauan Bernama di pusat membeli-belah ternama di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati suasana kompleks membeli-belah agak tenang dan hanya menjadi tumpuan ramai warga asing bertemu rakan-rakan, bersiar-siar, bersantai sambil membeli-belah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.