Salhan K Ahmad |
Ini disimpulkan oleh beberapa penyokong gagasan itu yang ditemui di majlis sambutan ulangtahun Hindraf malam ini di sebuah dewan serbaguna di bandar Klang.
Salah seorang daripadanya ialah P Sivakumar, 37, yang bergegas ke majlis itu dari rumahnya di Nilai petang tadi.
"Sokongan itu tidaklah lemah sangat. Masyarakat India masih berharap kepada Hindraf untuk memperjuangkan hak-hak kami," kata pekerja dalam industri penerbangan itu.
"Ini termasuk mendapatkan kesamarataan dalam peluang untuk mendapatkan pekerjaan atau biasiswa pendidikan," kata bapa kepada seorang anak berusia tiga tahun itu.
"Anwar banyak sokong kami sebab dalam pilihan raya dua tahun lepas kita beri sokongan 100 peratus kepada dia," kata Sivakumar yang hanya mengetahui mengenai majlis sambutan tersebut kelmarin.
Ucapan Anwar
Tambahnya, beliau juga terkesan dengan ucapan ringkas Anwar dalam majlis tersebut, yang menasihatkan masyarakat tersebut supaya tidak melandaskan perjuangan mereka pada sisi kaum mereka sahaja.
Anwar, yang berucap selama kira-kira sepuluh minit itu, juga antara lainnya mengingatkan masyarakat berkenaan supaya membawa "perjuangan rakyat Malaysia."
"Tapi kita juga mahu dia tahu, jangan lupakan kaum India dan jangan ketepikan Hindraf," tegas Sivakumar, yang agak petah berbicara dalam bahasa kebangsaan.
Selain Anwar, rata-rata yang berucap di majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 orang itu, menggunakan bahasa Tamil. Malah Anwar sendiri kelihatan beria-ria menunjukkan kebolehannya mengucap selamat kepada hadirin di Dewan Hamzah itu.
Tidak ketinggalan adalah 'trademark' laungan 'Lawan Tetap Lawan' oleh Anwar yang disambut secara spontan oleh para tetamu yang hadir, menunjukkan mereka masih setia bersamanya.
Anwar, dalam pada itu juga bernada apologetik dengan pencapaian pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan.
Puas hati
Di satu sudut di luar dewan itu, tiga sahabat sedang berbual-bual sambil mengambil angin seketika. Salah seorang daripada mereka ialah R Ramadas, seorang penduduk Klang.
"Kita sudah puas hati dengan Selangor. Sudah banyak juga yang kerajaan negeri beri kepada kita," kata Ramadas, 55, yang tidak berkesempatan untuk mendengar sepenuhnya ucapan Anwar sebelum itu.
"Sekarang kalau ada ahli keluarga mati, keluarga akan dapat RM1,000. Dulu (bawah BN) tidak ada macam ini," katanya
"Banyak juga aktiviti masyarakat, (wakil rakyat Pakatan) suka jaga masyarakat, orang pun puas hati. Warga tua yang miskin pula dapat RM300," kata bekas pekerja sebuah syarikat multinasional itu.
"Sebab itu saya kata sudah ada perbezaan. Kalau tidak, dahulu semuanya masuk poket (wakil rakyat) sendiri. Tapi kita tidak berdendam dengan BN," katanya lagi sambil tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.