UTUSAN ONLINE
PELABUHAN KLANG - Sebanyak 367 buah kereta mewah bernilai RM55.1 juta yang dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor sejak Januari lalu, bakal dilelong kepada orang ramai jika pengimportnya gagal mengemukakan permit import (AP) kenderaan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Antara kereta yang dirampas kerana melanggar Perintah Kastam iaitu Larangan Mengenai Import 2008 adalah Mercedes-Benz, Porsche, BMW, Lexus, Toyota Alphard, Toyota Caldina dan Toyota Wish.
Kesemua kenderaan mewah itu yang kebanyakannya dibawa masuk dari United Kingdom dan Jepun, kini tersadai di stor KDRM Selangor di Pelabuhan Barat di sini.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata, nilai sebuah kenderaan itu bermula dari RM50,000 sebelum cukai. Kesemua rampasan kereta mewah itu dilakukan di pelabuhan di Selangor sejak Januari lalu hingga awal bulan ini.
Beliau berkata, rampasan terbaru melibatkan 50 buah kereta mewah termasuk Porsche di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat pada bulan ini.
"Pengimport semua kenderaan mewah ini masih gagal mengemukakan AP walaupun tempoh sebulan telah diberikan.
"Selepas tempoh itu berakhir, kita akan lucut hak mereka ke atas kenderaan terbabit sebelum kereta-kereta itu dilelong," kata beliau kepada pemberita di stor Bahagian Penguatkuasaan KDRM Selangor di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Terdahulu, beliau dan pegawai kanan KDRM Selangor menghadiri majlis makan tengah hari bersama media di Wisma KDRM Pelabuhan Barat.
Sepanjang tahun ini, kata beliau, sebanyak 150 buah kereta mewah bernilai kira-kira RM20 juta yang ditahan atas kesalahan yang sama telah dituntut di Selangor setelah pengimportnya mengemukakan AP.
Tambahnya lagi, KDRM negeri juga merampas 160 buah kereta pelbagai jenis yang kini berada di stor Pelabuhan Utara di sini.
Kesemua kereta itu, katanya, dirampas sama ada ketika operasi mencegah penyeludupan di seluruh Selangor atau disita kerana digunakan oleh penyeludup yang diberkas.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, sejak Januari hingga semalam, KDRM berjaya mematahkan 3,719 kes penyeludupan dengan jumlah rampasan RM213,601,054 dan nilai cukai RM219,643,378.
Ujarnya, antara barangan yang dirampas adalah rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan elektrik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.