Sabtu, 28 November 2009

Dua wanita rentung, dua lagi melecur

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Dua wanita rentung manakala sepasang suami isteri terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu terbakar di Kilometer 11, Jalan Batang Kali-Genting, dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila tayar belakang kereta jenis Kia Spectra itu meletup menyebabkan kenderaan tersebut terbabas ke dalam longkang.

Mangsa yang mati adalah dua penumpang di tempat duduk belakang iaitu Low Lian Hooi, 56, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Teh Eng, 61.

Pemandunya, Soo Cheng, 54 dan isterinya Chin Ah Chan, 53, terselamat bagaimanapun melecur pada beberapa anggota badan.

Ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands.

Mayat kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dekat sini untuk bedah siasat.

Sepasukan polis daripada Unit Forensik turut dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Norel Azmi Affandi Yahya ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kedua-dua mangsa yang terselamat sehingga petang ini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang," katanya.

Norel Azmi berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kemalangan itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, salah seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Din, berkata, ketika kejadian berlaku, dia berada di laluan bertentangan menghala ke Genting Highlands.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan usahanya untuk mengeluarkan mangsa gagal kerana pintu kereta tersebut tidak dapat dibuka.

"Ketika saya cuba membantu mereka, kesemua mangsa masih hidup," katanya ketika ditemui ditempat kejadian di sini malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.