Khamis, 26 November 2009

Dilema Penduduk Taman Desa Pusu Tiga, ‘Taman Dibawah Air’


http://buletinonline.net/images/stories/berita14/pusutiga2008.JPG

- Cadangan Bina Tembok oleh ADUN BN Tidak Masuk Akal

KUALA NERUS
– Seramai 800 orang penduduk yang tinggal dalam 163 buah rumah di Taman Pusu Tiga dekat sini, terus menghadapi dilema.(Gambar - banjir di Pusu Tiga tahun lalu)

Gelombang musim tengkujuh kali kedua tahun ini kembali menenggelamkan taman perumahan tersebut, sebagaimana yang mereka alami pada tahun lalu.

Semakin ramai yang menjadi bertambah buntu, apabila usaha mereka untuk menjual rumah yang dibeli dengan duit hasil titik peluh mereka gagal kerana tidak memiliki sijil layak menduduki (CF).

Mereka seolah-olah merasa cukup tertipu, ditambah pula oleh sikap ‘dingin’ kerajaan negeri untuk membantu.

Kedudukan taman perumahan itu lebih rendah dari paras jalanraya, menyebabkan ia sering dinaikki air apabila hujan lebat.

”Apabila hujan lebat turun, lebih dari dua jam, pasti air akan naik, sebab itu taman ini dipanggil ‘taman dibawah air’,”komen dari seorang bekas penduduk taman tersebut, ketika dihubungi Buletinonline.

Menurutnya, kejadian banjir terburuk sejak 15 tahun lalu berlaku pada tahun 2008, apabila projek pemanjangan landasan terbang, Lapangan Terebang Sultan Mahmud siap dibina.
http://buletinonline.net/images/stories/berita14/pusutiga1.jpg
”Taman Pusu Tiga seolah-olah sebuah kolam, mengalirkan air dari kawasan ‘buffer zone’ landasan terbang yang menjadi pusat tadahan air hujan,”katanya yang mahu kenali sebagai Abdullah sahaja.

Tinjauan Buletinonline ke kawasan perumahan itu petang semalam mendapati (gambar kanan), air sedalam 0.3 meter masih bertakung di taman tersebut, walaupun hujan telah berhenti sejak pagi.

Menurut seorang penduduk yang ditemui berkata, air tersebut akan tetap disitu sehinggalah air Sungai Nerus benar-benar surut.

Beliau yang tidak mahu dikenali berkata, ia adalah kerana paras ketinggian taman itu, sama dengan aras sungai tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, wakil rakyat Umno/BN yang tidak ‘turun padang’ ke taman perumahan tersebut pada musim bah tahun lalu, telah mengemukakan satu cadangan ‘yang tidak masuk akal’.

Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, Ramli Nuh mencadangkan agar dibina suatu ‘tembok’ umpama empangan, disekeliling kawasan tersebut.

Kemudian, menurut Ustaz Abu Bakar, ADUN Tepoh itu mencadangkan pula, agar sebuah pam air akan diletakkan disitu, bagi mengepam keluar, air yang masuk.

”Cadangan Ramli Nuh untuk mendirikan tembok, betul-betul tak logik, dan tidak masuk akal,

”sepanjang mana dan setinggi mana tembok hendak dibuat, dan berapa besar pam air yang akan diletakkan?,”soal Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Pendapat Ustaz Abu Bakar disokong oleh seorang penduduk, Nazmi Ghazali, 44, yang berkata, cadangan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah.

Beliau yang juga seorang kontraktor berkata walaupun ia pernah dilaksanakan di kawasan perumahan Batu Muda di Kuala Lumpur, namun kedudukan tanah di Taman Pusu Tiga berbeza.

”Tanah Pusu Tiga berpasir, kalau dibina tembok sekali pun air akan meresap dibawah tembok,

”di Taman Muda, yang dibina tembok adalah tebing sungai, bukannya dikeliling taman,”jelasnya ketika ditemui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.