Khamis, 26 November 2009

BN kenal pasti calon di Kota Siputeh?

Abdul Rahim Sabri


BN telah mengenal pasti calon yang sesuai sekiranya berlaku pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh, kata sumber Umno bahagian Jerlun.

Menurutnya, calon yang disebut-sebut layak mewakili BN ialah naib ketua Bahagian Jerlun, Aziz Mahmud.

Berdasarkan tinjauan persepsi pengundi yang dijalankan oleh jentera Umno bahagian tersebut, mendapati majoriti pengundi lebih selesa dengan Aziz sebagai calon mereka.

Menurut sumber tersebut, tinjauan dari rumah ke rumah itu dijalankan tiga minggu lalu.

Selain naib ketua bahagian, Aziz juga seorang ahli perniagaan berkelulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Beliau berpotensi untuk menang, seorang pekerja parti yang komited dan pilihan akar umbi di DUN tersebut," kata sumber lagi.

Parlimen Jerlun mempunyai dua DUN - Kota Siputeh dan Ayer Hitam - dengan seramai 19,771 pengundi.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, calon BN Datuk Abu Hassan Syarif menang dengan majoriti 495 undi, mengalahkan calon PAS Ismail Wan Teh. Abu Hassan mendapat 8,160 undi menewaskan Ismail yang memperolehi 7,665 undi.

Kerusi itu diisytihar kosong oleh Speaker DUN Kedah Dr Abd Isa Ismail ekoran tindakan Abu Hassan tidak hadir dua kali berturt-turut dalam sidang DUN iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini.

Kes tersebut kemudiannya dibawa ke mahkamah dan pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan kerusi itu kosong dan mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di situ.

SPR kemudiannya memfailkan rayuan untuk menangguhkan perintah mahkamah tersebut dan kelmarin Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan tersebut.

"Bagaimanapun, jentera kita sudah bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya kecil," kata sumber.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.