Jumaat, 27 November 2009

Banjir: Cuti anggota polis dibeku

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Cuti semua anggota dan pegawai polis di negeri-negeri yang dilanda banjir dibekukan serta-merta sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, anggota dan pegawai terbabit diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga biarpun banjir dilaporkan semakin pulih kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan di negeri terbabit akan berterusan.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin ketika dilanda bencana alam.

"Kita masih dalam keadaan berjaga-jaga, takut hujan lebat semula dan banjir lagi, oleh kerana keadaan tersebut kita tidak membenarkan anggota dan pegawai bercuti sebab banjir dijangka melanda semula.

"Dari segi logistik, saya berpuas hati, semua cukup dan tidak ada masalah. Begitu juga kerjasama agensi lain seperti tentera, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan udara keadaan banjir dan singgah di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan Bunohan, Tumpat di sini hari ini.

Turut sama ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Musa turut menasihatkan mangsa banjir supaya mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa .

"Kalau diarah pindah, pindahlah sebab kita pentingkan nyawa... harta benda insya-Allah kita jaga. Saya diberitahu di tempat banjir di negeri ini belum ada lagi kejadian curi.

"Ibu bapa juga diminta jangan benarkan anak-anak main air, takut dibawa arus," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, Balai Polis Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat akan dinaik taraf supaya ia tidak ditenggelami air pada masa akan datang.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kedua-dua balai akan dibina semula dengan lebih tinggi supaya air tidak memasuki ruang pejabat.

"Kalau balai polis pun banjir macam mana nak tolong orang. Saya dulu pun sudah maklumkan kawasan-kawasan yang berlaku banjir ditinggikan." katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.