Oleh Hamid Salleh
KUALA TERENGGANU: Korban banjir di Terengganu tahun ini meningkat kepada empat orang apabila dua lagi ditemui lemas di Bukit Payong, Marang petang kelmarin dan semalam.
Murid Tahun Satu lemas apabila terjatuh dari sampan dinaiki bersama kakaknya ketika mengharung banjir di Kampung Sena Rendang pada jam 6.30 petang kelmarin manakala murid Tingkatan Satu di Taman Safiah Murni pula lemas ketika bermain banjir di kawasan itu jam 2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya, berkata Ahmad Yassir Shayukir, 7, tenggelam selepas terjatuh ketika bersampan bersama kakak dan tiga rakan berikutan paras air tinggi.
Sementara itu, Muhammad Aifaa Mohd Yusof, 13, menjadi korban keempat selepas lemas ketika bermain banjir di kawasan Taman Safiah Murni, Bukit Payung, jam 2 petang, semalam.
Korban banjir pertama Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun, 9, dari Kampung Getang, Kuala Berang yang lemas pada 8 November lalu di Sungai Terengganu selepas terjerlus ke dalam pasir berhampiran kawasan melombong pasir jam 3 petang.
Mangsa kedua pelajar Tingkatan Tiga, Mohd Syahmi Mohd Yusof, 15, ditemui lemas di Sungai Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, ketika memukat di sungai itu jam 10 pagi kelmarin.
Jurucakap bilik gerakan banjir, berkata Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu masih ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air sedalam 0.3 meter di Kampung Kubang Ikan, Tepuh.
Di KOTA BHARU: Cuaca cerah tanpa hujan hampir di seluruh negeri sepanjang hari semalam, membantu memulihkan banjir di Kelantan, dengan 1,500 mangsa yang dipindahkan sejak Sabtu lalu, kembali ke rumah masing-masing menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.
Tinjauan Berita Harian mendapati pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi dekat Rantau Panjang yang menempatkan mangsa banjir paling ramai di Kelantan membabitkan 646 penduduk menurun kepada 328 orang membabitkan 110 keluarga yang dipindahkan dari sekitar Kampung Banggol Kulim, Mek Pit, Bendang Guchil dan sekitarnya sejak Sabtu lalu.
Di KUANTAN: Semua 31 mangsa banjir daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, dekat sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.