BERITA HARIAN ONLINE
GENTING HIGHLANDS: Umno tidak kecewa terhadap keputusan Pas untuk menutup pintu perbincangan mengenai kerajaan perpaduan kerana niat Umno adalah ikhlas iaitu mendukung prinsip perpaduan ummah, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata terserah kepada masyarakat Islam sendiri untuk menilai sama ada hasrat Pas itu baik atau tidak.
“Umno sebagai parti yang mendukung perjuangan umat Islam dan Melayu, mahukan perpaduan. Malah, Datuk Seri Najib Razak dan saya sendiri pernah membuat kenyataan terbuka mengenai kesediaan Umno untuk bekerjasama demi perpaduan ummah.
“Nawaitu kita ikhlas. Namun jika Pas tidak mahu dan tidak bersedia untuk menerima, itu terserah kepada mereka. Tidak mengapa... tidak menjadi masalah, setidak-tidak kita menunjukkan hasrat baik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kelmarin menutup pintu perbincangan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.
“Pas mengalami masalah dalaman kerana pertembungan kepentingan pemimpinnya, tetapi menjadikan Umno sebagai kambing hitam sebagai jalan menyelamatkan diri, sedangkan tiada demokrasi dalam Pas di mana hanya seorang dua pemimpin yang membuat penentuan,” katanya.
Mengenai dakwaan Pas bahawa Umno mengupah pihak tertentu untuk melakukan serangan siber terhadap parti itu, Muhyiddin berkata, Pas boleh berkata apa saja tetapi ramai orang sudah faham dan tampil untuk menghujah balik tuduhan parti pembangkang yang mengandungi banyak pembohongan.
Sementara itu, mengenai kemelut MCA yang berterusan selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa pelan perpaduan parti yang diumumkan Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, Khamis lalu dibuat tanpa pengetahuannya dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CC) yang lain, beliau berkata: “Pelan itu bukan pelan milik orang tertentu atau satu dua pemimpin saja. Pelan itu adalah untuk parti, maka wajarlah semua pemimpin (MCA) pada peringkat mana sekali pun tahu apa yang dimaksudkan pelan berkenaan. Saya pun hendak tahu juga sebagai anggota dalam BN, jadi kita boleh membantu.
“Justeru, ada baiknya pelan itu dibuat lebih telus kepada ahli parti, jangan pihak tertentu saja tahu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.