Jimadie Shah Othman
Gerakan digesa segera berubah dengan membetulkan pendekatan kerja dan menjuarai pelbagai isu berbangkit dalam negara - seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) - bagi meraih kembali sokongan rakyat.
Kebimbangan parti itu yang kini tinggal dua kerusi dalam parlimen dan hilang sokongan di kubu kuatnya di Pulau Pinang itu, jelas tergambar dalam ucapan Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn hari ini.
Berucap ketika merasmikan persidangan tahunanrPemuda dan Wanita Gerakan ke-22 di Cheras hari ini, Chang berkata, kegagalan parti itu menangani pelbagai masalah telah menimbulkan kemarahan rakyat.
"Jangan ulang! Sekarang banyak isu, antaranya PKFZ, kalau kita ambil tindakan cepat. Itu cara untuk mendapat balik kepercayaan rakyat.
"Bagaimanapun, saya yakin Gerakan dan BN akan berubah untuk kembali mendapat keyakinan rakyat. Kita mesti menggunakan kesempatan yang ada berbincang isu-isu rakyat," katanya.
Chang berkata, kegagalan parti itu bersaing pandangan di media - yang didakwa lebih pro-demokrasi selepas zaman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - juga telah memburukkan keadaan.
"Ada kritikan yang berasas dan tidak berasas. Dan kita ada kerajaan yang tidak respons dengan berkesan dan positif," katanya.
Mengulas keperluan menjenamakan semula Gerakan, Chang berkata, parti harus mencontohi imej kerajaan dengan memperkenalkan gagasan 1Malaysia.
"Kalau Coca Cola pun kena tukar bungkusan dalam pasaran, BN kena tengok perkara ini (penjenamaan semula). Inilah masanya untuk kita cari jalan bagaimana untuk menghadapi masalah yang sedang dihadapi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.