Safar Jumaat
(ANALISIS)
KRISIS MCA nampaknya tiada penghujung. Ketika banyak pihak menyifatkan pelan perpaduan yang mahu dilaksanakan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai 'opera Cina' beberapa pihak lain melihat Tee Keat terlalu takut jika dia kehilangan jawatan.
Selama ini, MCA yang dikatakan bakal berubah apabila Ong Ka Ting mengundurkan diri serentak dengan Chan Kong Choy, rupa-rupanya terbeban dengan kisah RM10 juta wang dari 'taikun PKFZ' yang didakwa diberikan kepada Tee Keat.
Ketika Tee Keat berhempas pulas mahu membersihkan namanya dari palitan dakwaan menerima RM10 juta itu, dia dikatakan berusaha juga mahu mengenepikan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang pernah dikatakan mahu menjatuhkannya.
Kini, selepas Soi Lek Berjaya diketepikan dari jawatan Timbalan Presiden, Tee Keat masih tidak tenteram kerana kawan yang selama ini dipercayai menyokongnya sehidup semati, Datuk Seri Liow Tiong Lai disifatkan sebagai 'kawan makan kawan'.
Tee Keat mencabar Tiong Lai berterus-terang jika timbalannya itu mahu beliau meletakkan jawatan supaya dia boleh mengambil alih pucuk kepimpinan parti.
Nampaknya, sejarah kepimpinan parti-parti dalam komponen BN berulang. Hubungan antara Timbalan dengan Presiden sering tidak sehaluan.
Dalam Umno, apakah kita masih ingat bagaimana teruknya 'pertembungan' antara Tun Musa Hitam dengan Dr. Mahathir?
Kemudiannya, Tun Ghafar Baba (Allahyarham) dikecewakan oleh Dr. Mahathir sebelum pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir.
Dalam PBB (Sarawak), hubungan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan Datuk Abang Abu Bakar Mustapa, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan kini dengan Datuk Abang Johari Tun Abang Openg juga sudah menjadi rahsia umum.
Dalam MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bertelagah dengan timbalannya, Datuk S. Subramaniam. Tan Sri Dr. Lim Kheng Yeik dengan timbalannya Datuk Kerk Choo Ting juga bukan rahsia lagi.
Dalam MCA sendiri, dalam era Tun Dr. Ling Liong Sik, timbalannya, Tan Sri Lee Kim Sai pernah tersungkur. Kemudiannya, Tan Sri Lim Ah Lek tidak menjamah kerusi Presiden kerana 'masalah' antara Presiden dan Timbalan.
Jika Tee Keat yang menimbulkan masalah awal dengan Soi Lek kerana 'mengesyaki' Soi Lek berusaha menjatuhkannya, kini selepas Tee Keat berjaya menjatuhkan Soi Lek, pengganti Soi Lek pula, Tiong Lai dilihat sudah bermasalah dengan Presiden.
Hari ini, hubungan antara Tee Keat dengan Tiong Lai sudah sukar untuk diperbaiki. Tiong Lai kelihatan sudah dapat sokongan dari Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA. Tee Keat terpaksa 'berbalah' dengan kedua-dua sayap parti ini kerana melihat Tiong Lai sudah 'dapat sokongan' dari kedua-dua sayap parti itu.
Kenapa agaknya Tee Keat masih mahu bertahan di kerusi Presiden? Kenapa dia tidak mahu berundur seketika untuk menyelesaikan perbalahannya dengan 'taikun PKFZ' Datuk Seri Tiong King Sing sebelum berdepan dengan masalah dalaman MCA?
Jika Tee Keat tidak menimbulkan masalah Soi Lek beberapa bulan lalu, apa yang berlaku dalam MCA sekarang termasuk EGM tidak perlu diadakan.
Malangnya, Tee Keat yang bercita-cita mahu menjadi hero MCA terlupa, lubang yang dikoreknya itu memerangkap dirinya sendiri.
Walaupun pelan perpaduan yang diperkenalkan mungkin Berjaya, tetapi tidak mustahil Soi Lek boleh meninggalkan Tee Keat ketika ini bagi menyokong Tiong Lai yang dikatakan pernah dibisikkan kata-kata oleh Tee Keat sebaik sahaja mahu bercuti selepas EGM, yang dia (Tee Keat) mahu berundur.
Ketika pemimpin lain dalam MCA berusaha menambah kawan-kawan, Tee Keat nampaknya menambah musuh. Dia sudah berbalah dengan ramai orang dan banyak pihak. Kini, MP Seri Gading, datuk Mohamad Aziz pula mencadangkan di Parlimen supaya Tee Keat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan kerana 'rakyat sudah tidak memerlukannya' lagi.
Memetik kata-kata Tee Keat, "pemimpin tertentu mendesak supaya menghormati keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM). Ini jelas bermaksud mahu saya meletak jawatan tetapi pada masa sama, mereka mendakwa tidak memaksa saya meletak jawatan.
"Saya secara peribadi mendapati pendekatan mereka ini amat mengelirukan. Jika Timbalan Presiden (Liow) yang baru dilantik mahu saya meletakkan jawatan supaya beliau boleh menjadi Presiden, saya percaya beliau perlu membuat pendirian yang jelas.
"Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah dengan 'bali batu sorok tangan'," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya, semalam.
Masalah Tee Keat ialah dia tidak pernah menjadi Timbalan Presiden sebelum menjadi Presiden. Kekosongan yang berlaku bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden (Ka Ting dan Kong Choy) berhenti serentak menyebabkan Tee Keat yang ketika itu menjadi Naib Presiden bertanding jawatan Presiden manakala Soi Lek yang melepaskan jawatan Naib Presiden membuat 'comeback' dengan menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden.
Tee Keat mungkin menyokong calon lain supaya menang kerusi Timbalan Presiden, kerana ketika itu bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan turut bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi yang menang ialah Soi Lek.
Tee Keat nampaknya tidak selesa dengan kemenangan Soi Lek. Jika kelazimannya Timbalan Presiden MCA akan dilantik menjadi Menteri, tetapi Soi Lek yang merupakan bekas Menteri Kesihatan tidak ditawarkan apa-apa jawatan.
Ada yang mengatakan Perdana Menteri tidak mahukan Soi Lek tetapi ada juga pihak yang mendakwa tee Keat tidak mengangkat nama Soi Lek kepada Perdana Menteri untuk dicadangkan dilantik menjadi Menteri.
Tiong Lai yang turut menerima kesan tidak sehaluan dengan Presiden apabila timbul cerita isterinya dihadiahkan sebuah kereta bernilai RM600,000 meminta SPRM dan polis menyiasat dakwaan tersebut. Hari ini, pergaduhan antara beberapa pemimpin ini menimbulkan banyak cerita 'tersembunyi' selain kisah-kisah skandal seks.
Sama-samalah kita lihat siapakah yang akan tersungkur kali ini apabila berlaku pertembungan antara Tiong Lai dengan Tee Keat? Adakah Soi Lek akan tampil menjadi jaguh mempertahankan Tee Keat dalam pertembungan Tee Keat-Tiong Lai ini? Atau, kesemua mereka, Tee Keat, Soi Lek dan Tiong Lai akan hanyut dan MCA bakal menyaksikan kepimpinan baru yang bersih dari cerita RM10 juta, skandal seks dan hadiah kereta dari kontraktor?
Atau MCA bakal terus dipimpin oleh mereka yang lebih gemar mencari masalah dan berbalah dengan tidak mempunyai banyak masa untuk turun ke bawah menemui rakyat yang mengharapkan pembelaan dari mereka ini. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.