Rabu, 28 Oktober 2009

Muhyiddin: Pelan perdamaian Tee Keat-Soi Lek perlu telus

BERNAMA


GENTING HIGHLANDS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan perdamaian antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu telus dan diketahui oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pelan tersebut bukannya milik "orang-orang tertentu" atau "satu dua pemimpin" sahaja, malah pelan berkenaan adalah untuk parti MCA.

"Wajar seluruh pemimpin di peringkat mana sekali pun tahu apa yang dimaksudkan pelan perdamaian itu. Saya pun nak tahu juga sebagai anggota dalam BN.

"Ada baiknya pelan itu dibuat secara telus kepada ahli mereka dan jangan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja yang tahu. Ini, ada pemimpin tertinggi pun tak tahu... apa yang rahsia sangat kalau ia (pelan itu) untuk kebaikan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan akhbar hari ini, yang menggesa supaya pelan perdamaian antara Tee Keat dan Soi Lek dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Jawatankuasa Pusat (CC).

Tiong Lai mendakwa gesaan itu mewakili majoriti anggota CC yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelan perdamaian itu kerana ia tidak melibatkan CC sebaliknya cuma membabitkan dua individu tersebut.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pelan perdamaian itu perlu diketahui oleh para pemimpin MCA kerana mereka juga mempunyai peranan dalam menyelesaikan konflik dalaman parti berkenaan.

"Perkara ini bukan untuk mendedahkan kepada orang ramai tetapi kepada pemimpin-pemimpin yang terlibat supaya mereka tahu apa yang sebenarnya... lebih adil.

"Tiada siapa yang terkecuali daripada mengetahui apa yang sebenarnya sebab saya fikir dalam usaha untuk menyatupadukan, semua pihak ada peranan, bukan orang tertentu sahaja.

"Jadi, kalau semua pemimpin MCA tahu dan bersetuju bahawa inilah pelan yang baik, selepas ini mereka akan sokong untuk menjadikan pelan itu satu kenyataan," katanya.

Ditanya mengenai pergolakan dalam MCA yang masih berterusan, Muhyiddin berkata apa yang berlaku dalam parti itu sekarang adalah dalam proses untuk menyelesaikannya dan ia tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

"Yang pastinya ada hasrat untuk selesai sudah mula ada... baguslah, ada perkembangan. Selepas ini kita hendak lihat hasilnya... pelan satu hal, kesan daripada pelan itu untuk menunjukkan perdamaian dan perpaduan dalam parti itu itu lebih besar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.