Jumaat, 30 Oktober 2009

Majlis Agama Pulau Pinang berwajah baru tahun depan

Ali Hashim


PERMATANG PAUH: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) akan berwajah baru pada tahun depan apabila proses perubahan bermula daripada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim wajah dan imej baru MAIPP ini adalah satu reformasi yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Undang-Undang Jenayah Syariah kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Pulau Pinang di Safira Country Club, Seberang Jaya, Permatang Pauh.

"Antara perubahan yang akan dilakukan ialah memastikan infrastruktur masjid berada dalam keadaan yang sempurna serta meningkatkan profesionalisme pentadbiran masjid kepada semua yang diamanahkan untuk melaksanakan tugasan tersebut.

"Jika kita bandingkan dengan Majlis Ugama Islam Singapura(MUIS)sebagai contoh, mereka dapat laksanakan pentadbiran mereka dengan profesional yang banyak membawa manfaat kepada umat Islam di negeri tersebut walaupun mereka adalah kumpulan minoriti dalam negeri tersebut.

Image "Begitu juga dengan Pulau Pinang yang mana masyarakat Islam adalah minoriti maka contoh yang ditunjukkan oleh MUIS dalam pentadbiran mereka dan pelaksanaan pengurusan dan pentadbiran masjid harus menjadi satu ikutan.Dengan prasarana, ekonomi dan selia urus yang begitu efisien membawa kesan positif kepada kehidupan masyarakat Islam di sana," katanya.

Abdul Malik juga menyelar sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan masjid.

"Pada tahun 2010 apabila pentadbiran masjid diperkasakan kita mahu ianya dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam tanpa mengira fahaman dan ideologi politik," katanya.

Umat Islam, katanya, harus bersatu melalui institusi masjid dengan meletakkan fahaman politik yang ada diluar. Ini adalah usaha yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri supaya institusi masjid ini dapat berfungsi dengan sepenuhnya kepada umat Islam, katanya.

_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.