Selasa, 27 Oktober 2009

Majikan Mantik Hani ditahan susulan kematiannya

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 35 tahun dan isterinya, pasangan majikan kepada pembantu rumah Indonesia, Mantik Hani, ditahan polis berikutan kematiannya, kata Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Katanya pihak polis ingin memaklumkan kepada semua pihak yang terbabit, siasatan sedang dijalankan secara profesional demi kepentingan orang ramai dan negara.

"Kami sedar kes ini terpaksa dikendalikan segera dan semua pihak mempunyai keyakinan cara ia dikendalikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata sebaik siasatan selesai dijalankan, pihak polis akan menyerahkan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara.

"Semua pihak dinasihatkan supaya bersabar bagi membolehkan pihak polis menyelesaikan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

Mantik, 36, dari Surabaya, yang didakwa didera, ditemui dikurung di dalam tandas, meninggal dunia 10 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya telah diselamatkan pihak polis dari sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.