Rabu, 28 Oktober 2009

Lima resolusi martabatkan perundangan syariah

Oleh Zukri Aksah


Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.

Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.

Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.