Khamis, 29 Oktober 2009

Laporan PKFZ dibentang di Parlimen Rabu depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mengemukakan laporan dan hasil penemuannya berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Parlimen Rabu depan (4 November), kata Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid. Azmi pada sidang medianya di lobi Parlimen berkata segala butiran mengenai laporan tersebut akan diketahui umum pada hari tersebut atau selewat-lewatnya Khamis.

"Semuanya telah diselesaikan, kemungkinan besar pada Rabu... maklumatnya anda boleh pada hari itu," katanya.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina di tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, diselubungi kontroversi ekoran pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Sementara itu, kata Azmi, selepas ini PAC akan melakukan siasatan kepada projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh yang juga melibatkan perbelanjaan besar.

"Keretapi Rawang-Ipoh ialah isu terbesar selepas PKFZ, kami ambil isu itu mengikut keutamaan," katanya. Pengauditan yang dijalankan antara Ogos 2008 dan Januari 2009 mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu seperti kelewatan projek menyebabkan kos meningkat, peralatan dibeli melebihi keperluan serta perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur menyebabkan ia tidak dapat digunakan sepenuhnya sebaik sahaja siap. Sehingga Disember 2008, sejumlah RM5.77 bilion dibelanjakan untuk melaksanakan projek ini dengan jumlah perbelanjaan RM1.43 bilion (32.9 peratus) lebih tinggi daripada nilai kontrak asal projek berjumlah RM4.34 bilion.

Azmi berkata pelbagai pihak akan dipanggil memberi keterangan berhubung projek tersebut termasuk beberapa kementerian, kontraktor dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.