Khamis, 29 Oktober 2009

Keluarga gesa siasatan segera

UTUSAN ONLINE


KAMPAR - Keluarga seorang mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di sini mahu pihak berkuasa segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil tindakan selanjutnya agar ia tidak berulang.

Bapa saudara mangsa, M. Supramaniam, 51, berkata, mereka sekeluarga juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur kecuaian.

''Kami akan berbincang mengenai tindakan yang bakal diambil selepas upacara pengkebumian selesai dijalankan.

''Memang sedih kerana kejadian ini berlaku terhadap keluarga kami. Difahamkan, jambatan tersebut baru dua minggu siap dibina dan talinya dipasang semalam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, N. Dina Deve, 11, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, maut selepas terjatuh dari jambatan yang runtuh ke dalam Sungai Kampar lalu dihanyutkan arus deras.

Mayatnya hanya ditemui pada pukul 8.40 pagi ini.

Dua lagi mangsa iaitu V. Diryasree, 12, murid SJKT Gopeng dan seorang lagi murid SJKT Mambang Di Awan, M. Darapharshini, 11, dilaporkan masih hilang.

Sementara itu, abang mangsa, N. Thanageswaran, 18, berkata, adiknya itu bersungguh-sungguh mahu menyertai perkhemahan tersebut walaupun dihalang oleh ibunya.

Malah, Dina Deve merayu dan meminta bantuan guru sekolahnya agar diberi keizinan untuk mengikuti perkhemahan tersebut.

''Adik saya tidak pernah ikut mana-mana perkhemahan sebelum ini. Tetapi kali ini, dia begitu beria-ia. Malah, dia yang pendiam sebelum ini begitu seronok untuk menyertai kem tersebut.

''Dia tidak pandai berenang, sebab itulah ibu berat hati membenarkannya pergi. Saya tak sangka kegembiraannya itu bawa malang kepada keluarga kami," katanya.

Menurut Thanageswaran, keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 1.30 pagi tadi lalu bergegas ke tempat kejadian.

Malangnya, harapan mereka agar Dina Deve selamat berkecai apabila mayat mangsa ditemui kira-kira tujuh jam selepas itu.

Sementara itu, bapa mangsa, T. Nathan, 44, yang bekerja sebagai pemandu lori, pengsan ketika melihat mayat anak perempuannya di Hospital Kampar di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.