Oleh Herman Samsudeen
Jika ada masalah disiplin kalangan pimpinan dan ahli PAS, sesiapa sahaja (Ahli Pas) boleh membuat laporan terhadap mereka kepada Lembaga Disiplin PAS yang di Pengerusikan oleh Naib Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.Dalam Mesyuarat Khas Pas Pusat semalam, Mursyidul Am dan Presiden bersama semua AJK bersetuju bahawa isu Kerajaan Perpaduan tidak berbangkit lagi
Jadi jika ada sesiapa lagi yang membangkitkan isu ini hendaklah dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti dan tidak perlulah lagi diulas atau dibawa ke dalam ceramah atau penulisan atau pun komentar.
Sebarang tuduhan terhadap mana-mana pimpinan dan ahli hendaklah dibuktikan kepada Lembaga Disiplin kerana mereka yang membuat tuduhan tanpa melaporkannya kepada Lembaga Disiplin juga boleh dianggap sebagai tidak berdisiplin dan menghina saluran rasmi parti itu.
Bercakap soal persepsi, maka menjadi tanggungjawab setiap pimpinan dan ahli untuk membina persepsi yang positif terhadap Pas dan kepimpinannya.
Apa yang saya lihat sebelum ini adalah pembinaan persepsi negatif terhadap Pas yang turut disertai oleh khalayak pimpinan dan ahli hingga mewujudkan jurang kefahaman dan saling tidak mengerti yang begitu luas. Sekaligus tindakan provokatif dari dalam ini memberikan persepsi negatif yang lebih meluas diluar Pas.
Apa yang paling merungsingkan ahli adalah, terdapatnya segolongan pemimpin berceramah dan menulis bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan yang berat terhadap barisan kepimpinan tetapi hingga ke hari ini masih gagal untuk membuat laporan ke Lembaga Disiplin. Tuduhan yang meliar diluar adab berjamaah ini memberikan impak yang terlalu hangat bila membicarakan kredibiliti kepimpinan yang ada.
Bagi kepimpinan yang waras, setiap isu telah diperhalusi dan kita melihat bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah perbezaan pandangan pada sisi yang berbeza-beza dan ianya tiada kaitan dengan Umno, melainkan untuk kebaikan Jamaah dan kesinambungan Pakatan.
Kita jelas menolak Umno dan dasarnya. Pas sudah menyatakan komitmennya dalam Pakatan sebelum Pakatan diwujudkan lagi! Tetapi masih ramai yang memekakkan teliga, membutakan mata untuk melihat sumbangan besar Pas dalam Pakatan lantaran kegagalan Pas menguasai majoriti kerusi Parlimen dalam senarai yang dimiliki Pakatan.
Berbalik pada isu dalaman parti. Sumber-sumber peribadi pimpinan tertentu sering dijadikan modal untuk mengalas tuduhan berat yang hakikatnya kita tertanya-tanya, benarkah tuduhan itu? kenapa tidak dilaporkan kepada Lembaga Disiplin? Mana Buktinya?.
Malah kita tidak mahu memperdulikan siapa pimpinan yang dituduh itu. Walaupun batang tubuhnya adalah Mursyidul Am, Presiden, Timbalan, atau siapa sahaja kita tidak mahu peduli. Yang kita mahu tahu, benarkah ada bukti untuk kita menghukum mereka.
Menghukum berasaskan nas persepsi bukanlah amalan dan budaya kita dalam Pas, kerana kita diajar bahawa setiap tuduhan itu perlulah dibuktikan dengan fakta serta saksi. Dalam menghukum kita merujuk kepada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Perlembagaan serta peraturan Disiplin yang sedia ada.
Maka apa jua masalahnya kita selesaikanlah dalam jalan musyawarah seperti yang ditegaskan oleh Presiden dan rujuklah Lembaga Disiplin jika ianya ada kaitan dengan masalah disiplin, bukannya terus menerus membina dan mengukuhkan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.