Jumaat, 2 Oktober 2009

Ibu bapa penuntut sabar menanti walaupun lewat

Oleh R.K. SHYAMALA dan AU YEONG HOW


SUBANG: Kebanyakan ibu bapa para penuntut Universiti Andalas yang menjadi mangsa gempa bumi di Sumatera Barat menanti kepulangan anak-anak mereka dengan sabar walaupun berlaku kelewatan lebih kurang empat jam.

Tinjauan mStar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini semalam mendapati segelintir ibu bapa telah menunggu seawal 8.30 malam tadi di perkarangan sebuah masjid berdekatan TUDM.

Salah seorang daripada mereka ialah Haslinda Mat Dawi, 45, berkata anak perempuannya Norhazura Hamdan yang merupakan pelajar tahun kedua universiti tersebut berada dalam salah satu pusat membeli-belah semasa kejadian gempa bumi berlaku.

"Anak saya nyaris-nyaris terperangkap tetapi mujurnya dia berjaya menyelamatkan diri."

"Dia dijangka pulang pada pukul 3 pagi ini dan pihak kedutaan telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk memastikan anak saya berada di tempat yang selamat," kata beliau.

Menurut Haslinda, dia telah menerima panggilan anaknya yang kini berada di lapangan terbang Minangkabau sekitar pukul 12 tengah malam untuk memaklumkan keadaannya.

Sementara itu, suri rumah R.Amara, 42, bersyukur kerana anaknya K.Sangeetha, 18, seorang pelajar pra perubatan dari universiti berada di padang fakulti semasa insiden tersebut.

Katanya, rumah sewa anaknya tidak mengalami apa-apa masalah tetapi kampusnya telah terjejas akibat gempa.

"Saya masih akan menghantar anak saya selepas keadaan di sana bertambah baik," ujarnya yang berasal dari Puchong.

Sementara itu, suri rumah Tan Ah Ying, 48, ketika ditemui berkata, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya, Min Wai Han, 22, telah tiba di lapangan terbang Minangkabau di Padang pada 11.52 p.m. semalam.

"Dia memberitahu saya dia telah menyediakan pakaian, ubat-ubatan untuk persediaan awal jika keadaan bertambah buruk," katanya yang berasal dari Port Klang.

Dalam pada itu, peniaga K. Ganesan dari Ampang berkata, dia panik apabila tidak dapat menghubungi anaknya beberapa kali susulan malapetaka itu.

"Mula-mula, kami telah menghubungi G. Jayshini sebanyak tiga atau empat kali selepas mendapat tahu mengenainya tetapi gagal menghubunginya.

"Bila dia dapat menghubungi kami, dia nasihat kami agar tidak risau," katanya dengan penuh kesyukuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.