Isnin, 28 September 2009

Umno kaji enakmen hina Dewan

Oleh Wan Jailani Razak


TANJUNG KARANG: Badan Perhubungan Umno Selangor melantik sekumpulan peguam bagi mengkaji Enakmen Menghina Dewan Negeri Selangor (DNS) yang diluluskan kerajaan negeri, bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Noh Omar, berkata pandangan awal kumpulan itu mendapati ada antara peraturan dalam enakmen itu boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, enakmen itu dilihat diluluskan untuk memastikan mana-mana orang yang dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa yang ditubuh DNS boleh dikenakan waran tangkap jika gagal hadir dan didakwa dengan izin Peguam Negara.

“Kalau tidak silap enakmen menghina Dewan seperti ini hanya ada di Selangor, semata-mata memberi mereka kuasa ultra, memaksa orang yang dipanggil datang memberi keterangan di hadapan jawatankuasa yang ditubuhkan Dewan dan boleh keluarkan waran jika tidak datang.

“Seterusnya seseorang itu juga boleh ditangkap dan dihukum jika didapati bersalah. Kita lihat kerajaan Selangor akan membuat apa jua peraturan, menunjukkan seolah-olah mereka sangat berkuasa, boleh memaksa dan bertindak ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan mereka,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Umno bahagian Tanjung Karang, di sini, semalam.

Mengenai isu yang dikaitkan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tindakan jawatankuasa itu menyoal pegawai tinggi kerajaan secara terbuka, seolah-olah menghina mereka.

Selama Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini, katanya, pegawai tinggi kerajaan terbabit menjalankan tugas dengan baik sehingga banyak pembangunan dapat dilakukan di bandar dan luar bandar.

“Pembangkang hanya pandai bercakap soal demokrasi, kebebasan bersuara, tetapi hari ini apabila Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Pesuruhjaya Pas Selangor) beri pandangan yang betul mengikut hak beliau sebagai wakil rakyat dan bekas pegawai tinggi kerajaan, ada pula suara menentang dan minta Hasan dipecat.

“Di mana demokrasi dan slogan memperjuangkan hak rakyat yang menjadi dasar Pakatan Rakyat? Ketika menjadi pembangkang, semua isu ini menjadi agenda utama mereka sehingga berjaya mempengaruhi rakyat, seolah-olah merekalah pembela rakyat, menegakkan keadilan, pejuang kebebasan bersuara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.