Selasa, 1 September 2009

Perubahan besar: Wanita Umno putuskan 30% ahlinya wajib terlibat dalam buat keputusan parti

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno hari ini meluluskan cadangan-cadangan pindaan Perlembagaan Umno dan Peraturan Wanita Umno bagi membolehkan sekurang-kurangnya 30 peratus ahlinya terlibat di peringkat pembuat keputusan parti.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebanyak 12 fasal perlembagaan parti dan 15 peraturan Wanita dicadangkan untuk dipinda dan kertas cadangan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno dua hari lagi.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya mahu kuota 30 peratus itu bukan hanya tertumpu kepada peringkat Majlis Tertinggi tetapi juga melibatkan akar umbi termasuk cawangan, bahagian, negeri dan perwakilan supaya kesan perubahan itu dapat dirasai secara menyeluruh.

"Kita akan serah kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dengan harapan ia (cadangan kuota 30 peratus) akan diterima dan dilaksanakan di semua peringkat.

"Saya positif dan yakin kepimpinan akan menerimanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Pergerakan Wanita di ibu pejabat Umno di sini hari ini.

Umno akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Oktober ini bagi meminda perlembagaan parti termasuk menyentuh kaedah dan proses pemilihan parti supaya lebih telus, terbuka dan demokratik.

Shahrizat berkata, kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan itu penting memandangkan wanita merangkumi hampir separuh daripada penduduk negara ini, mempunyai pengalaman dan kefahaman yang berbeza dalam sesuatu isu serta mewujudkan keseimbangan jantina bagi meningkatkan proses demokrasi dalam tadbir urus kerajaan.

"Sehubungan dengan itu, Umno sebagai parti politik utama di Malaysia perlu menjadi perintis dan peneraju dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan," katanya.

Selain itu, Shahrizat menambah, sejajar dengan perkembangan senario politik semasa, pihaknya turut memberi cadangan berhubung pemilihan presiden dan timbalan presiden parti. Bagaimanapun beliau tidak mengulas mengenai cadangan tersebut.

Ditanya mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah pun melaksanakan dasar 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan parti itu, Shahrizat berkata, Barisan Nasional sebenarnya adalah perintis kepada perkara itu kerana beliau telah mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet pada Ogos 2004.

"Bagaimanapun pada masa itu, tiada pindaan perlembagaan parti. Sekarang kita ada perubahan kepimpinan," katanya.

Justeru, Shahrizat berkata, beliau mahu semua wanita bersedia dari segi pengalaman, kepakaran dan kebolehan untuk menerima perubahan dasar yang akan berlaku.

Selain itu, Shahrizat turut mengucapkan takziah kepada keluarga Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan di sini pada jam 10 pagi tadi akibat kegagalan ginjal.

Katanya, Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 80 tahun merupakan antara perintis yang begitu banyak menyumbang dalam proses perundangan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.