Dzulfikar Mashoor
BAGAN PINANG : Bayangkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober nanti, calon Umno ditolak lagi oleh rakyat.
Sudah pasti keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan melonjak dan pilihan raya ke 13 nanti bakal berlaku tsunami yang lebih besar lagi.
Bagi anggota Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sangat bimbang ianya akan berlaku.
Jika berlaku lagi, beliau bimbang kerusinya juga bakal hilang dan menjadi Perdana Menteri terakhir Umno.
Bagan Pinang adalah salah satu dari lima Dun yang terletak di bawah Parlimen Telok Kemang. Tiga Dun sudah dikuasai Pakatan termasuk Parlimen, hanya dua termasuk Bagan Pinang yang masih di bawah BN.
Bagan Pinang umpama Permatang Pasir yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Datuk Seri Anwar.
Datuk Kamarul, bekas Setiausaha Agung PKR berkata demikian dalam majlis rumah terbuka hari raya anjuran PAS Negeri Sembilan semalam di Bagan Pinang semalam.
"Di Permatang Pasir, Najib (dan) Umno telah lihat calonnya ditolak rakyat kerana mempunyai terlalu banyak masalah peribadi dan kerjaya. Sebab itu, mereka bimbang takut ianya sekali lagi akan berlaku di Bagan Pinang," katanya.
"Yang menghairankan, Umno Telok Kemang beri sokongan pada bekas Menteri Besar (Tan Sri Isa Samad). Tiba-tiba al-khalifah (Tun) Dr. Mahathir pula mengkritik calon akar umbi Umno sendiri," katanya.
Katanya lagi, kekeliruan Mahathir itu sebenarnya berpunca dari kekalahan berterusan Umno dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.
Ia berlaku bukannya disebabkan masalah peribadi calon mereka semata-mata tetapi faktor penolakan terhadap Umno itu sendiri.
Tambahnya lagi, masalah pencalonan tidak menjadi pertikaian pemimpin Pakatan peringkat negeri dan nasional, kerana Pakatan mengamalkan muafakat dan semangat setia kawan.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya menjelaskan, pilihanraya Bagan Pinang ini mampu mempercepat Pakatan mengambil alih Persekutuan jika Umno terus ditolak rakyat.
"Jika menang PAS, kerajaan Negeri (Sembilan) tidak jatuh pada Pakatan Rakyat. Jika menang Umno pun, Pakatan tidak boleh mengambil alih Persekutuan. Tetapi Umno bimbang rakyat terus disedarkan tentang perubahan," katanya.
Ujarnya lagi, kebimbangan tersebut disebabkan Umno tidak mahu rakyat terus terdedah oleh rekod kemampuan memerintah seperti yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat Selangor, dengan memberikan nikmat bekalan air percuma kepada rakyat.
Bercakap pada pentas yang sama, Pesuruhjaya PAS Melaka Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, rakyat bukan sahaja tertanya-tanya siapakah calon terbaik yang dipertaruhkan Umno dalam pilihanraya kali ini; malah isu kemasukan mendiang Altantuyaa Sharibuu tanpa rekod Imigresyen juga menjadi misteri di sisi rakyat.
Beliau juga yakin, keputusan kalah menang pilihanraya kecil ini akan memberi kesan langsung kepada rakyat di peringkat nasional kelak.
Ogos tahun lalu, Datuk Ariff Shah Omar Shah (Umno) dikalahkan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Parlimen Permatang Pauh.
Februari lalu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Umno) dikalahkan oleh Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu.
April lalu, Ismail Safian (Umno) dikalahkan oleh Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) dalam pilihanraya Parlimen Bukit Gantang.
Serentak dengan pilihanraya Bukit Gantang, Datuk S. Ganesan (MIC/BN) dikalahkan oleh S. Manikumar (PKR) dalam pilihanraya Dun Bukit Selambau.
Jun lalu, Aminah Abdullah (bebas) yang dikatakan sebagai calon proksi Umno, turut dikalahkan oleh Dr. Mansor Othman (PKR) dalam pilihanraya Dun Penanti.
Julai lalu, Tuan Aziz Tuan Mat (Umno) dikalahkan oleh Mohd Fauzi Abdullah (PAS) dalam pilihanraya Dun Manek Urai.
Ogos lalu, Rohaizat Othman (Umno) dikalahkan oleh Mohd Salleh Man (PAS) dalam pilihanraya Dun Permatang Pasir.
Pilihanraya kecil Bagan Pinang ini dikatakan bakal menjadi aras tanda utama, sama ada tsunami politik 8 Mac 2008 masih berterusan sehingga sekarang, atau rakyat sebenarnya masih menolak sesiapa saja calon yang diperjudikan Umno BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.