Khamis, 24 September 2009

Ketengangan Dalam Umno Di Bagan Pinang

Oleh Salmiyah Harun


Pencalonan Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang mungkin akan mengundang ketengangan dalam Umno.Menurut AJK PAS Dato' Kamarudin Jaffar, Umno Negeri Sembilan sedang menghadapi pergolakan di mana Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin dan Isa Samad dalam dua 'kem' yang berlainan.

Katanya, kecenderungan Isa Samad sebagai calon di Bagan Pinang amat tinggi memandangkan beliau adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang bahkan tidak memegang apa-apa jawatan ketika ini.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata, pencalonan Isa Samad dialu-alukan sekali gus memberi peluang cerah kepada PAS untuk menang di dewan undangan negeri itu.

"Sekali lagi Umno akan berpecah dan tidak akan bersatu dari segi jumlah undi yang menyokong calon BN," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, 'track record' Isa Samad sebelum ini cukup diketahui umum apabila beliau di halang bertanding dalam pemilihan Umno sudah cukup memberi gambaran Umno sudah ketandusan calon.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno bahagian Teluk Kemang, Mohd Faizal Ramli berkata rata-rata pemimpin Umno di bahagian tersebut umumnya ingin Isa bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Selepas pemilihan Umno tahun 2004, Isa Samad telah digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya melanggar tataetika pemilihan parti itu tahun lalu.

Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.