Selasa, 1 September 2009

Kapal dagang karam, 17 selamat

BERITA HARIAN ONLINE


LUMUT: Seramai 17 anak kapal dagang, Hodasco 15, yang karam di perairan Pulau Perak kira-kira 48 batu nautika dari sini, berjaya diselamatkan sebuah kapal kargo yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Pengarah Logistik Daerah Maritim 3, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM), Lt Komander Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata semua anak kapal dagang, yang membawa muatan besi dan berdaftar di Mongolia itu, diselamatkan oleh kapal dagang dari Syria.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin), dan dilaporkan kepada Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya, kira-kira jam 7 pagi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Jabatan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini.

Tiga buah kapal ronda APMM digerakkan ke tempat kejadian bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa.

“Pada jam 1.40 petang, kapal dagang milik Syria yang membawa 17 mangsa terdiri daripada 14 warga Vietnam dan tiga warga Myanmar tiba di perairan Pulau Pangkor.

“Semua mereka kemudian dipindahkan ke tiga buah bot ronda APMM dan dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini kira-kira jam 2.30 petang,” katanya.

Nurul Hizam berkata, sepasukan anggota akan dihantar ke tempat kejadian bagi memantau dan mengesan kejadian pencemaran atau kebocoran minyak dari kapal itu.

Sementara itu, Kapten kapal Hodasco 15, Le Hoang Wuan, 46, berkata kapal itu membawa muatan besi seberat 6,045 tan sedang dalam perjalanan dari Calcutta, India ke China.

Katanya, ketika berada di tempat kejadian kapal berkenaan mengalami kebocoran di bahagian perut kapal dan gagal diperbaiki, menyebabkan air masuk.

Le Hoang berkata, beliau kemudian mengarahkan semua anak kapal memakai jaket keselamatan dan keluar dari kapal yang mula tenggelam itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.