Selasa, 1 September 2009

Gedung Kartun ingin jumpa Hisham

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 4.22pm)



Pemimpin majalah humor kontroversi Gedung Kartun, yang banyak memperli perdana menteri dalam karikaturnya, ingin bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi mendapatkan penjelasan berhubung status permit penerbitannya.

"(Oleh) kerana permit penerbitan diluluskan menteri, saya akan menulis surat untuk bertemu sendiri dengan menteri dalam negeri untuk mendapatkan penjelasan, apakah benar beliau tidak pernah pada, atau sebelum 14 Ogos, meluluskan permit dengan nombor PP8541/ 08/ 2010 (0282145) untuk majalah Gedung Kartun?" kata ketua editornya Zulkiflee Anwar Ulhaque.

Menafikan majalah satira politik itu diterbitkan menggunakan nombor permit penerbitan palsu, Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata telah mematuhi semua syarat ketika memohon permit 30 Jun lalu.

Awal minggu lalu Malaysiakini melaporkan, pejabat majalah itu diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam kenyataannya hari ini, Zunar berkata, pada 3 Ogos lalu, seorang pegawai KDN memaklumkan bahawa permit Gedung Kartun telah diluluskan.

Beliau juga dimaklumkan, tambahnya, surat kelulusan itu boleh diambil di kementerian di Putrajaya pada 14 Ogos.

"Pada 14 Ogos, kami pergi ke KDN untuk mengambil surat (kelulusan), walau bagaimana pun dimaklumkan surat belum siap.

"Sehubungan itu, saya telah meminta agar nombor permit itu diberi terlebih dahulu supaya kami dapat menjalankan kerja-kerja penerbitan, dengan anggapan bahawa apabila majalah ini dicetak dan diedarkan sepuluh hari selepas itu, sudah pasti surat rasmi permit itu akan tiba," katanya.

"Dan nombor itu telah diberi oleh pegawai KDN."

Zunar juga mempersoalkan kesukaran mendapatkan permit penerbitan walaupun, menurutnya, Najib pernah berjanji media akan lebih bebas bawah pentadbirannya.

"Saya tidak faham kenapa surat rasmi mengenai kelulusan permit Gedung Kartun sampai sekarang belum dikeluarkan oleh pihak KDN, sebaliknya mereka melakukan rampasan dan mahu mendakwa saya ke mahkamah.

"Bukanlah lebih baik dikeluarkan surat kepada saya dan semua masalah selesai?" katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.