Selasa, 22 September 2009

Calon BN ambil kira pandangan pengundi

Oleh Junita Mat Rasid


MUAR: Barisan Nasional (BN) akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum menentukan calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, apa lebih penting pihaknya mahu calon yang dipilih itu berwibawa, dihormati dan diterima pengundi serta mampu menjalankan tugasnya dengan baik.

"Sampai masanya pada 29 September ini di satu majlis di Bagan Pinang yang dibuat bersama perjumpaan hari raya, saya akan mengumumkan (calon) selepas selesai keputusan pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai persiapan BN menghadapi pilihan raya kecil Bagan Pinang dan keputusan mengenai calonnya.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mengadakan mesyuarat pengurusan parti dengan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan untuk mengatur persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Memang setiap kali menghadapi pilihan raya kecil, saya akan memanggil pengerusi serta ahli jawatankuasa perhubungan serta ketua bahagian dan saya mendapat taklimat terperinci langkah yang kita sedang susun dan akan dilaksanakan dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan ramai yang mahukan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, sebagai calon DUN Bagan Pinang, Muhyiddin berkata, pihaknya akan mengambil kira semua pandangan.

Ditanya mengenai masalah dalaman yang dihadapi parti komponen BN iaitu MCA dan MIC, Muhyiddin berkata secara langsung atau tidak langsung ia akan memberi kesan kepada kerajaan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, konsep rumah terbuka yang diadakan setiap kali perayaan termasuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, perlu diteruskan kerana ia menunjukkan keistimewaan negara ini, sekali gus membuktikan hubungan mesra yang sudah lama terjalin antara semua kaum.

Rumah terbuka yang kali pertama diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh dihadiri hampir 20,000 tetamu dan turut disambut oleh isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta empat anak mereka, Fakhri Yassin, Nabilah, Najwa serta Farhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.