Khamis, 24 September 2009

Anggota tentera, polis disaran berbelanja ikut kemampuan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Anggota pasukan keselamatan khususnya anggota polis dan tentera disarankan supaya menjalani kehidupan mengikut kemampuan sepadan dengan pangkat dan gaji bagi mengelak daripada berhutang di luar keperluan.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, mereka tidak boleh lalai untuk mengejar kekayaan sehingga mudah terpedaya dengan sindiket cepat kaya.

''Anggota tentera kini memperoleh gaji yang agak lumayan dan mencukupi berbanding dahulu, jika berpangkat koperal ingin hidup seperti seorang leftenan memanglah gaji tidak mencukupi.

''Mereka perlu mengurus perbelanjaan secara bijak supaya pendapatan yang diperolehi mencukupi untuk menyara keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan anggota pasukan keselamatan antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Muhammad Abdul Ghani mengakui ramai di kalangan anggota tentera yang kini terlibat dengan pinjaman daripada ah long kerana gaji tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

Namun, jelasnya, pelbagai bebanan hutang daripada pihak bank juga menyebabkan gaji diperolehi mereka tidak mencukupi.

Beliau berkata, hakikatnya gaji bulanan mereka sebenarnya memadai untuk menyara keluarga jika potongan gaji bulanan hanya untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), koperasi dan perumahan.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri pula berkata, disebabkan anggota keselamatan termasuk dari pasukan polis terlalu mengejar keuntungan, ada yang terpengaruh dan tertipu.

''Penganjur skim cepat kaya menjadikan polis sebagai sasaran mudah dengan menggunakan taktik tertentu yang menjanjikan pulangan besar.

''Mereka menjadi sasaran mudah kepada sindiket skim pelaburan cepat kaya kerana mempunyai bilangan anggota yang ramai menguar-uarkan tentang skim tersebut," ujarnya.

Menurutnya, mereka tidak sepatutnya terlibat dalam hal sedemikian yang menjejaskan pandangan masyarakat terhadap kewibawaan anggota polis.

Katanya, pasukan polis sendiri perlu memainkan peranan dan bertindak tegas terhadap skim sedemikian termasuk tindakan proaktif agar orang ramai tidak tertipu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.