Sabtu, 29 Ogos 2009

RM100j saham percuma

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM


KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM100 juta dalam bentuk saham amanah yang akan diberikan secara percuma kepada golongan miskin di kawasan bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan tersebut akan diagihkan selepas usaha mengenal pasti penerima yang layak selesai dijalankan.

‘‘Kita telah minta senarai mereka yang miskin di bandar, ada lebih kurang RM100 juta nilai saham amanah yang hendak kita beri secara percuma.

‘‘Jika senarai ini dapat dikumpulkan, kita akan beri saham itu supaya mereka dapat menambah pendapatan,” katanya sewaktu berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga kota di Masjid Albukhary di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan yang disumbangkan oleh Yayasan Albukhary kepada golongan kurang bernasib baik.

Beliau turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat tarawih bersama warga kota di masjid tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, program penjualan rumah projek perumahan rakyat (PPR) dijangka dapat dimulakan pada 10 Oktober ini.

Katanya, langkah menjual rumah PPR itu membuktikan kerajaan amat komited untuk memerangi kemiskinan di bandar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.