Sabtu, 1 Ogos 2009

Polis makin ganas tembak gas pemedih mata

Harakahdaily


JAM 2.45 PETANG: Polis semakin galak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan Mansuh ISA dekat kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Keadaan makin tidak terkawal apabila gas pemedih mata itu dilepaskan secara membabi-buta terhadap kumpulan yang turut ada bersamanya pimpinan utama Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Wartawan Harakahdaily yang membuat liputan di sana turut terkena tembakan gas berkenaan dan ini menyukarkan usaha menyampaikan laporan langsung kepada kami.

Jumlah peserta himpunan Mansuh ISA capai sasaran

KUALA LUMPUR - 2.30 petang (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam ucapannya di depan peserta himpunan aman, dekat perhentian bas di sebelah Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman menggesa kerajaan memansuhkan segera akta zalim ISA.

Beliau menganggarkan jumlah kehadiran demonstrasi yang menggesa ISA dimansuhkan itu sudah mendekati 100,000 orang, angka yang menjadi sasaran pihak penganjur.

"Kehadiran orang ramai pada hari ini, meskipun disekat pihak polis, menjadi saksi bahawa kemarahan rakyat terhadap akta zalim ISA tidak boleh dibendung lagi. Tiada pilihan buat kerajaan BN melainkan memansuhkan segera akta drakonian ini," tegasnya, disambut laungan takbir dan sorakan reformasi.

Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan berucap sama, antaranya Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perarakan ke Dataran Merdeka dan Istana Negara dilihat sudah mengambil jalan alternatif, iaitu melalui Jalan Sultan Ismail, bukan lagi Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kini menjadi medan untuk anggota FRU melepaskan gas pemedih mata._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.