Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh merudum di sisi rakyat berikutan tindakan ganas polis terhadap perhimpunan aman anti-ISA semalam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Tidak habis-habis berdalihkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memberi justifikasi kepada tindakan ganas terhadap perhimpunan aman.
"Perhimpunan dan perarakan yang dianjurkan oleh pembangkang sentiasa berlangsung dengan aman dan kekecohan hanya berlaku akibat tindakan ganas polis," kata beliau.
Sebagai contoh, katanya, pada 28 Julai 2006, perarakan lebih 50 ribu manusia diketuai Presiden PAS yang berarak dari Masjid Kampung Baru ke Pusat Konvensyen KLCC dan akhirnya ke Kedutaan Amerika Syarikat berlangsung dengan penuh aman kerana pihak polis tidak bertindak ganas.
"Dalam perarakan itu, kedai-kedai tidak ditutup, tidak ada orang awam yang bertempiaran lari dan tidak bekas air minuman yang pecah apabila pihak polis tidak bertindak ganas," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Menurut beliau, apa yang berlaku dalam demonstrasi anti-ISA semalam memperjelaskan lagi kegagalan polis untuk meyakinkan kepada orang ramai bahawa ia bertindak mengikut SOP bagi memastikan keamanan dan tidak ada kekecohan.
"Rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa perarakan 28 Julai 2006 itu tidak diganasi dan tidak berlaku kekecohan kerana ia tidak mengancam kepentingan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
"Adakah tidak bertindak ganas terhadap perarakan tersebut tidak selaras dengan SOP yang didakwa itu?
"Tetapi perhimpunan anti-ISA semalam terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas pihak polis kerana ia menacabar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sentiasa menjadi talian hayat Umno," kata Mahfuz.
Amat jelas, katanya lagi, tindakan ganas polis semalam dibuat semata-mata untuk menjaga kepentingan Umno dan BN dan bukan untuk keamanan negara.
Beliau juga menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf kepada rakyat kerana menyalahgunakan polis demi menjaga kepentingan kuasa mereka dan parti mereka. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.