Harakahdaily
(JAM 3 PETANG) : Meskipun pihak polis mengerahkan kekuatan maksimum, melalui serangan gas pemedih mata dan pukulan belantan, untuk melumpuhkan semangat peserta himpunan aman, namun ia tidak berjaya mengendurkan semangat orang ramai bagi mendesak ISA dimansuhkan
Peserta demonstrasi terpaksa mencari perlindungan di sekitar bangunan kedai dan kompleks perniagaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Beberapa kompleks membeli-belah utama seperti Sogo ditutup sepenuhnya.
Sebelum itu, ketika berucap kepada peserta himpunan, beberapa pimpinan muda Pakatan Rakyat seperti Salahudin Ayub, Tian Chua dan Pengerusi Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh mengecam pendekatan keras dan ganas pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi.
Mereka turut menuntut ISA dimansuhkan segara dan Kem Tahanan Kamunting ditutup. "Rakyat hari ini sudah menunjukkan protes dan amarah mereka terhadap akta yang memakan korban yang tidak berdosa ini," kata Salahudin.
Polis makin ganas tembak gas pemedih mata.
JAM 2.45 PETANG: Polis semakin galak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan Mansuh ISA dekat kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Keadaan makin tidak terkawal apabila gas pemedih mata itu, yang dilepaskan dengan menggunakan meriam air, secara membabi-buta terhadap kumpulan yang turut ada bersamanya pimpinan utama Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Wartawan Harakahdaily yang membuat liputan di sana turut terkena tembakan gas berkenaan dan ini menyukarkan usaha menyampaikan laporan langsung kepada kami.
Keadaan sama juga berlaku dekat bulatan Bank Negara apabila perarakan kumpulan dari Masjid Negara di sekat situ.
Jumlah peserta himpunan Mansuh ISA capai sasaran
KUALA LUMPUR, 1 Ogos, 2.30 petang (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam ucapannya di depan peserta himpunan aman, dekat perhentian bas di sebelah Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman menggesa kerajaan memansuhkan segera akta zalim ISA.
Beliau menganggarkan jumlah kehadiran demonstrasi yang menggesa ISA dimansuhkan itu sudah mendekati 100,000 orang, angka yang menjadi sasaran pihak penganjur.
"Kehadiran orang ramai pada hari ini, meskipun disekat pihak polis, menjadi saksi bahawa kemarahan rakyat terhadap akta zalim ISA tidak boleh dibendung lagi. Tiada pilihan buat kerajaan BN melainkan memansuhkan segera akta drakonian ini," tegasnya, disambut laungan takbir dan sorakan reformasi.
Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan berucap sama, antaranya Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Perarakan ke Dataran Merdeka dan Istana Negara dilihat sudah mengambil jalan alternatif, iaitu melalui Jalan Sultan Ismail, bukan lagi Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kini menjadi medan untuak anggota FRU melepaskan gas pemedih mata._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.