Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN
KUALA LUMPUR - Kegembiraan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno setelah tewas tipis dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai akhirnya tertimbus di Permatang Pasir.
Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menjelaskan kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pasir mengekalkan momentum Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu dan membuktikan rakyat sudah muak dengan politik lama yang dibawa oleh BN.
Kemenangan itu juga kata beliau, membuktikan rakyat mahukan seorang pemimpin yang berintegriti bagi mewakili mereka tidak kira di Dun atau parlimen.
"Kemenangan yang penuh bergaya ini membuktikan rakyat tetap mahukan perubahan dan menolak BN serta masih mengekalkan momentum pilihanraya 2008.
"Keputusan ini juga menunjukkan rakyat menolak agenda perkauman yang dibawakan oleh Umno dengan harapan akan memperolehi undi Melayu tetapi bukan hanya undi Melayu tetapi undi bukan Melayu juga gagal mereka perolehi.
"Umno yang diketuai oleh Muhyiddin (Tan Sri) sanggup memporak perandakan hubungan antara kaum semata-mata untuk mendapatkan kemenangan sedangkan rakyat sudah muak dengan mereka (BN)," tegas Mahfuz.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya untuk pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir berkata faktor calon yang dikemukakan oleh BN juga memainkan peranan penting dalam memastikan PAS mengekalkan kerusi di Permatang Pasir.
Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang berkurangan sebanyak 10 peratus, ahli parlimen Pokok Sena itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan pilihanraya di masa akan datang.
SPR tegas beliau bukan hanya perlu memberikan kesedaran untuk rakyat menunaikan tanggungjawab mereka tetapi perlu juga memberikan ruang untuk mereka keluar mengundi dengan menetapkan tarikh mengundi pada hari cuti atau hujung minggu.
Selain itu, SPR juga kata Mahfuz, perlu tegas dalam melaksanakan peraturan dan tidak seharusnya setiap kali berlaku pilihanraya kecil, satu peraturan baru yang bertujuan untuk memudahkan BN diperkenalkan.
Mahfuz juga mengucapkan tahniah kepada calon PAS, Mohd Salleh Man yang berjaya memenangi kerusi Dun Permatang Pasir dalam pilihanraya kecil Dun tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas dan penyokong-penyokong yang gigih membantu sepanjang kempen pilihanraya kecil Dun tersebut baru-baru ini.
Dalam pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir yang diadakan pada 25 Ogos lalu, Pakatan Rakyat yang diwakili calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.
Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882. Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.