Harakahdaily
KUALA LUMPUR - Norlaila Othman, isteri kepada tahanan ISA yang sudah dikurung tanpa bicara di Kamunting selama hampir lapan tahun, menjadi mangsa dalam operasi tangkapan pihak polis di Kompleks Pertama, berdekatan Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, jam 12.50 tengah hari tadi.
Beliau yang juga merupakan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ditahan bersama enam yang lain, termasuk anaknya, Suhaib, dan pada jam 1.30 tengah hari masih lagi berada dalam trak polis dekat pejabat FRU Cheras.
"Keadaan dalam trak sekarang panas. Kami belum diambil apa-apa keterangan lagi, tak tahu sama ada akan ditahan atau hanya dibiarkan di sini dahulu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Ditanya apa yang dilakukan beliau bersama rakan-rakannya yang lain ketika ditangkap, Norlaila berkata: ""Kami sedang membeli minuman dan makanan ringan dekat Kompleks Pertama. Kami pun tak pakai baju merah. Memang kami ada bawa poster dan ikat kepala anti-ISA tapi belum sempat dipamerkan.
"Ada beberapa anggota polis wanita minta tengok bahan-bahan yang kami bawa. Kami enggan beri. Tiba-tiba sekumpulan polis, sebahagiannya dari cawangan khas, SB, lebih kurang 20 orang datang mengerumuni kami dan terus masukkan kami dalam trak.
"Kami datang bukannya nak merusuh, malah saya adalah mangsa kepada kezaliman ISA. Tiada sebab kami ditahan. Ketika itu ramai lagi yang berhimpun di situ selain kami tapi nampaknya kami yang menjadi sasaran operasi polis. Rasanya ada 1,000 orang ketika itu dekat Sogo."
Norlaila memang dikenali umum sebagai aktivis dan bloggers yang paling lantang menentang ISA dan mendedahkan kezaliman penahanan tanpa bicara itu. Beliau turut menyusun buku mengenai ISA dan kini kerap menulis dalam akhbar Harakah mengenai pengalamannya menggerakkan usaha memansuhkan akta tidak berperikemanusiaan itu.
Suaminya, Mat Sah Satray dikurung hampir lapan tahun dan merupakan antara tahanan paling lama di Kamunting. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.