Ahad, 2 Ogos 2009

Bernama berpisah dengan Bernama TV

MALAYSIA KINI


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menggantung sementara pembabitannya dalam Bernama TV Synergy Sdn Bhd - satu usaha sama yang menyediakan saluran berita 24 jam di Astro TV - berkuatkuasa mulai hari ini, kata jurucakap Bernama.

"Keputusan itu bertujuan meminimumkan pendedahan Bernama kepada kerugian yang ditanggung oleh Bernama TV Synergy, yang merupakan usaha sama antara Bernama Bhd (33 peratus), Silver Ridge (Multimedia) Bhd (27 peratus), Standard Code Sdn Bhd (20 peratus) dan Hallmark Entertainment Sdn Bhd (20 peratus)," katanya.

Jurucakap itu berkata keputusan itu sama sekali tidak akan menjejaskan kualiti dan penyampaian perkhidmatannya sebagai agensi berita nasional, lapor Bernama.

"Bernama akan menyemak semula opsyen berhubung pembabitannya dalam Bernama TV Synergy sebaik sahaja isu kewangan yang melibatkan pihak-pihak dalam usaha sama itu diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataannya, berkata dengan berat hati, beliau terpaksa mengumumkan penggantungan sementara pembabitan agensi berita nasional itu dalam Bernama TV Synergy.

"Kami telah memutuskan bentuk tindakan ini selepas membuat penilaian menyeluruh berhubung keadaan kewangan semasa yang dihadapi Bernama TV Synergy.

"Selaku Pengerusi, saya ingin memberi jaminan bahawa penyampaian dan kualiti perkhidmatan sedia ada Bernama dalam operasinya sebagai agensi berita nasional akan terus dikekalkan pada tahap tertinggi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.