Rabu, 1 Julai 2009

Video lucah punca jalur lebar lembap

UTUSAN ONLINE


JELEBU - Sebanyak 20 peratus perniagaan yang menjalankan aktiviti memuat turun video lucah daripada Internet dikenal pasti sebagai salah satu punca kelembapan kemudahan jalur lebar di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tindakan golongan itu memonopoli penggunaan Internet dengan menjalankan aktiviti berkenaan menyebabkan pengguna lain mengalami masalah kelajuan ketika menggunakannya.

"Ini kerana kumpulan peniaga ini menjalankan aktiviti tersebut menggunakan masa yang panjang untuk memuat turun video lucah dan ini secara tidak langsung mengganggu serta mempengaruhi kelajuan Internet masyarakat umum.

"Buat masa ini, kita masih menyelidik berhubung masalah ini, namun kita telah kenal pasti beberapa pihak yang terlibat dan kita akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Hari Guru Daerah Jempol dan Jelebu di sini hari ini.

Ramai pengguna Internet di negara ini tidak berpuas hati serta membuat banyak aduan terhadap tahap kelajuan kemudahan jalur lebar yang diperoleh mereka.

Pada masa yang sama, ramai pengguna turut mendakwa kelajuan yang diterima tidak sepantas seperti mana yang dijanjikan oleh syarikat pembekal tempatan perkhidmatan berkenaan.

Rais mengakui pihaknya telah menerima banyak aduan tentang masalah tersebut serta menyifatkan golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab itu sebagai dalang di sebalik kelembapan kemudahan berkenaan.

"Saya akui memang kita terima banyak aduan dan kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi memastikan masyarakat umum dapat menikmati kemudahan tersebut pada kelajuan yang sepatutnya," ujar beliau.

Mengenai tindakan dan hukuman kepada kumpulan itu, Rais memberitahu, ia bergantung terhadap kesalahan dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.