Oleh Siti Nurazlinee Azmi
PETALING JAYA: Kes cerai penyanyi kumpulan OAG, Radhi Razali dengan pelakon drama, Shazlin Sharif, semalam menjadi ‘hangat’ apabila pasangan itu bertengkar di luar mahkamah berhubung dakwaan Radhi isterinya mengadakan hubungan sulit dengan bekas suami seorang pelakon.
Radhi, 32, mendakwa isterinya menggunakan alasan hubungan sulit itu untuk mengemukakan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah dan beliau bersedia mengemukakan bukti Shazlin berlaku curang terhadapnya.
“Saya ada bukti SMS cinta Shazlin dengan lelaki itu berbunyi 'Baby, I miss you' dan beliau mengaku tadi. Dia minta maaf kerana seksa saya setahun lebih dan nak saya ceraikannya.
“Saya tahu lama hal ini daripada telefon bimbitnya, tapi boleh maafkan sebab ia mungkin SMS saja.
“Saya baru mendapat tahu nama lelaki itu beberapa hari lalu,” luah Radhi kesal di luar mahkamah, di sini semalam.
Shazlin, 31, yang mula menangis kelihatan kurang selesa dengan keadaan itu terus menafikan tuduhan suaminya sebelum memasuki kereta manakala Radhi dilihat berdiri menghalang pintu kereta ditutup sambil meminta penjelasan isterinya berhubung masalah mereka.
Suasana tegang selesai sebaik saja Shazlin dilihat menghidupkan enjin kereta dan berlalu meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira 1 tengah hari.
Sebelum itu, dalam prosiding mahkamah Hakim Syarie Ghazali Ahmad menolak lafaz cerai Radhi terhadap isterinya selepas penyanyi berkenaan bersumpah menafikan dakwaan lafaz ‘Oklah, I ceraikan you talak 3,2,1?' yang dikemukakan oleh Shazlin dalam permohonan cerai.
Mahkamah yang membuat keputusan itu mendapati tidak berlaku lafaz talak antara pasangan itu selain Radhi sanggup bersumpah serta mengerti kesan yang boleh diterimanya akibat bersumpah serta dilaknat Allah jika beliau menipu.
Shazlin memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dibuat suaminya pada 15 September tahun lalu.
Bagaimanapun pada prosiding 21 April lalu, Shazlin melalui peguamnya memberitahu mahkamah beliau diceraikan sekali lagi oleh Radhi dengan talak tiga melalui panggilan telefon.
Peguam Shazlin, Noorafizah Abdul Azis ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan pengesahan perceraian kali kedua yang berlaku 25 Februari lalu menerusi telefon yang berbunyi, ‘aku ceraikan kau dengan talak tiga terus’.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Radhi jika ada penyelesaian cara baik di luar mahkamah.
Shazlin bekas anggota kumpulan Girls In Music (GIM) melangsungkan perkahwinan dengan Radhi pada 1 Januari 2005 selepas 12 tahun berkenalan dan mereka dikurniakan seorang anak, Mohd Rifdhi Muslim, 3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.