SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap dengan matlamat dan pendiriannya memberi teguran serta kritikan kepada pucuk kepemimpinan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN), walaupun Pas bercadang berbaik dengan parti itu.
Naib Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, beliau menyambut baik cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melupakan sengketa politik parti itu dengan Kerajaan Pusat.
“PKR dan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya tidak mahu wujud persengketaan atau bermusuh dengan sesiapa terutama BN.
“Pendirian kita (PKR) dari awal lagi adalah untuk melupakan sebarang persengketaan. Kita tidak perlu mewujudkan permusuhan. Ini adalah jelas dan kita alu-alukan setiap perkara baik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan sebagai berkata, langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin Pas ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Jumaat ini.
Mustaffa berkata, PR pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Kelantan itu demi untuk menjaga kepentingan dan perpaduan negara Islam, sekali gus melihatnya sebagai suatu yang wajar dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, pendirian PKR dan PR tetap masih sama dalam usaha memberi teguran dan kritikan kepada pucuk pimpinan kerajaan BN jika yang dilakukan itu tidak berlandaskan jalan betul terutama hal berkait ruang pembangunan politik negara.
”Prinsip yang kita tegakkan dalam PR tidak akan berubah sama sekali, tetapi pada masa sama kita sokong dengan cadangan Nik Abdul Aziz dan ini juga tidak bermakna kita akan berkompromi dengan pendiriannya (Pas),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.