Khamis, 2 Julai 2009

Pendapatan KWSP naik RM9.36 juta tahun lalu

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh peningkatan pendapatan sebanyak RM9.36 juta kepada RM20 bilion pada tahun lalu, berbanding RM18.29 bilion pada tahun sebelumnya walaupun negara mengalami krisis ekonomi kewangan global.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, walaupun berhadapan situasi sukar, KWSP berjaya memanfaatkan kekuatan sedia ada dengan mencatatkan keputusan memberangsangkan sekali gus mencatatkan pendapatan kasar tertinggi.

"Peningkatan pendapatan itu adalah hasil pulangan pelaburan KWSP terutamanya dalam pinjaman dan bon (RM6.78 bilion), ekuiti (RM6.67 bilion) dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (RM4.94 bilion)," katanya dalam Laporan Tahunan KWSP 2008 di sini hari ini.

Katanya lagi, ekoran penurunan ketara dalam harga ekuiti global dan polisi peruntukan susut nilai yang konservatif selaras dengan amalan terbaik perakaunan, KWSP telah memperuntukkan sebanyak RM4.68 bilion pada 2008 untuk susut nilai pelaburan ekuiti.

"Kesan daripada peruntukan itu, KWSP telah merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM14.31 bilion pada tahun tersebut dan dividen sebanyak 4.5 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Samsudin berkata, bagi menghadapi cabaran KWSP yang semakin sengit, pihaknya telah melaksanakan langkah-langkah untuk mempelbagaikan pelaburan bagi menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

"Walaupun menjangkakan 2009 merupakan tahun yang mencabar dari segi kewangan, KWSP akan sentiasa bersedia melindungi kedudukannya dan nilai simpanan persaraan ahli," katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, jumlah keseluruhan caruman juga turut mencatatkan peningkatan.

"Pada tahun 2008, jumlah caruman adalah RM34.54 bilion berbanding RM28.93 bilion pada tahun 2007, ini bermakna 19.39 peratus telah meningkat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.